United mudah lolos

LONDON - Manchester United berjaya mara ke separuh akhir Piala Liga apabila mengatasi Stoke City 2-0 awal pagi semalam.

Pada aksi di Stadium Britannia itu, gol-gol kemenangan The Red Devils masing-masing disumbangkan oleh Ashley Young dan Patrice Evra.

Dengan kemenangan itu, skuad kendalian David Moyes bakal berdepan Sunderland yang menewaskan Chelsea 2-1 dalam satu lagi aksi suku akhir kelmarin.

"Jaringan pertama kami memberikan perubahan yang cukup besar.

"Ia satu perlawanan yang sengit terutama apabila kami gagal memiliki beberapa peluang terhidang untuk menjaringkan gol.

"Mujurlah Stoke juga berdepan masalah yang sama. Bagaimanapun, saya harus akui perlawanan ini bukan mudah buat kami," jelas Moyes.

Sementara itu, pengendali sementara Tottenham Hotspur, Tim Sherwood mengakui kecewa apabila anak-anak buahnya terkandas di suku akhir selepas tewas 1-2 kepada West Ham United di White Hart Lane awal pagi semalam.

Selepas mengambil alih tugas Andre Villas-Boas yang dipecat Rabu lalu, Sherwood gagal dalam ujian sulung itu biarpun Spurs mendahului hasil jaringan Emmanuel Adebayor.

Namun, dua gol West Ham dalam tempoh 10 minit terakhir perlawanan masing-masing menerusi jaringan Matt Jarvis dan Modibo Maiga menyebabkan terpaksa Spurs berputih mata.

"Ia satu kekalahan yang cukup mengecewakan. Saya benar-benar kecewa dengan persembahan pemain.

"Biarpun menguasai perlawanan, pasukan lawan berjaya menghukum kesilapan kami yang kehilangan fokus pada penghujung babak kedua," kata Sherwood. - Agensi