Terjun sumbang emas ke-40 negara

GANDINGAN penerjun negara, Nazreen Abdullah (kanan) dan Tze Liang menyumbang emas ke-40 kontinjen negara pada Sukan SEA 2013 semalam.


NAY PYI TAW, Myanmar - Terjun mendapat penghormatan menjadi acara yang berjaya meraih emas ke-40 untuk menyempurnakan sasaran kontinjen negara pada Sukan SEA 2013.

Gandingan Ooi Tze Liang-Muhammad Nazreen Abdullah muncul atlet paling bertuah kali ini selepas menjuarai acara 10 meter platform seirama beberapa minit selepas Mohd. Lokman Akimi Mat Roji meraih emas ke-39 menerusi acara Muay Thai dan sebelum hoki lelaki meraih emas ke-41.

Pada saingan hari terakhir acara terjun itu, Tze Liang-Nazreen mencatat 386.26 mata untuk menewaskan Andriyan-Adityo Resto Putra (327.51 mata) dari Indonesia kedua dan Timothy Lee-Mark Lee (300.24 mata) dari Singapura, ketiga.

"Saya rasa bangga bukan sahaja kerana ini emas ke-40 untuk kontinjen negara tetapi juga kerana ia merupakan emas peribadi ketiga saya pada temasya kali ini dan ketujuh buat skuad terjun negara.

"Walaupun kami ini hanya gandingan bidan terjun tetapi masih berjaya menyumbang emas untuk negara dan amat bertuah pula dapat raih emas ke-40," katanya yang mengaku hanya sempat berlatih selama seminggu bersama Nazreen sebelum datang ke Myanmar.

Sebelum ini, Tze Liang turut meraih emas dalam acara 3 meter papan anjal seirama lelaki dan 3 meter papan anjal individu lelaki.

Dia yang dijangka mampu membawa pulang 4 emas bagaimanapun dikejutkan Nazreen yang lebih muda dalam acara 10 meter platform individu lelaki.

Sementara itu, terjun turut menyumbang pingat emas ke-42 kepada kontinjen negara dan kelapan buat skuad terjun selepas gandingan Nur Dhabi Sabri-Leong Mun Yee menjuarai acara 10m platform seirama wanita.

Nur Dhabitah-Mun Yee mencatat 281.64 mata untuk menewaskan Nay Chi Su Su-Saw Hla Nandar (239.91 mata) dari Myanmar di tempat kedua dan Dewi Setyaningsih-Linadini Yasmin (239.46 mata) dari Indonesia, ketiga.

Dengan kejayaan itu, skuad terjun Sukan SEA negara menyapu bersih kesemua lapan emas yang dipertandingkan pada temasya kali ini.