Dulu rock, kini nasyid


AKTIF sebagai penyanyi sejak tahun 1990-an, Daqmie bagaimanapun meneruskan kerjayanya sebagai jurutera bunyi.


SEKITAR tahun 1990-an, Daqmie lebih dikenali sebagai seorang penyanyi rock dan pernah menerbitkan dua buah album bersama kumpulan East iaitu East (1991) dan Generasi Metal (1996).

Selepas itu, Daqmie atau nama sebenarnya Azmee Abdul Manaf lebih banyak memberi tumpuan kepada kerjaya di belakang tabir sebagai seorang jurutera bunyi dan kerap terbabit dengan penerbitan album beberapa kumpulan nasyid popular selama 15 tahun.

Kekerapannya terdedah kepada lagu-lagu yang berunsur ketuhanan telah memberinya ilham untuk menerbitkan sebuah album nasyid yang diberi judul Daqmie - Maulaya.

Ditemui pada majlis pelancaran album tersebut di Saloma Bistro, Jalan Ampang, Kuala Lumpur baru-baru ini, Daqmie memberitahu, dia banyak menghasilkan lagu-lagu untuk kumpulan nasyid, tetapi sejak dua tahun lalu dia mula mencipta lagu untuk diri sendiri.

“Sebelum ini saya tidak pernah terfikir untuk menerbitkan album ini serta berasa kurang yakin kalau-kalau tiada pihak yang mahu bekerjasama dengan saya.

“Kemudian, saya bertemu dengan Alfa Booty dan dia mencadangkan supaya lagu-lagu yang saya cipta diberi sentuhan yang lebih segar dan komersial untuk menarik pendengar,” ujarnya menceritakan detik awal penerbitan albumnya itu.

Jelas Daqmie, album sulungnya itu mengandungi sebanyak sembilan buah lagu iaitu Selawat Ke Atas Nabi Muhammad SAW, Maulaya, La Ilaha Illa Allah, Tangis Sebatang Tamar, 7 Petala Cinta, Asma Ul Husna, Ilahi Lastu Lil Firdaus, Kasih Abadi dan Qasidah Maulaya.

Menurutnya, kesemua lagu berkenaan digubah semula dari segi susunan muzik serta melodi yang lebih kontemporari. Album ini diedarkan oleh Inteam Records Sdn. Bhd. dan sudah berada di pasaran sekarang.

BUKAN mudah buat Daqmie menghasilkan album sulungnya ini.


Meskipun sudah pernah berpengalaman sebagai seorang penyanyi ketika menjadi vokalis kumpulan East dahulu, ujar penyanyi yang berasal dari Alor Gajah, Melaka itu, dia mendapatkan khidmat guru vokal Siti Hajar Ismail untuk memantapkan lagi vokalnya.

“Untuk menghasilkan album Daqmie - Maulaya bukanlah mudah seperti yang dijangkakan kerana agak sukar mencari pihak yang berminat mengedarkannya.

“Selain itu, saya perlu bekerjasama dengan pasukan penerbitan yang memahami hala tuju muzik yang saya tampilkan dalam album ini,” ujarnya.

Sebelum ini diberi kepercayaan mencipta lagu runut bunyi untuk filem-filem terbitan Metrowealth.

Ujarnya, antara filem yang mendapat sentuhannya ialah I'm Not Single, Syurga Cinta, Selamat Pagi Cinta, 7 Petala Cinta, 99 Kali Rindu dan Salam Cinta.

Minat muzik

Bercerita tentang pembabitan awalnya sebagai penyanyi, Daqmie memberitahu semuanya berpunca daripada minatnya yang mendalam terhadap muzik sehinggalah dia menubuhkan kumpulan East bersama beberapa orang rakannya pada tahun 1989.

Ujarnya, tidak dinafikan pengaruh rock ketika itu sangat kuat, namun bapanya yang merupakan seorang guru agama tidak pernah menghalang minatnya itu.

“Ketika saya aktif dengan muzik rock, ayah banyak membimbing saya supaya tidak terjebak dengan perkara-perkara yang negatif. Dia tidak halang kerana tahu saya memang minat muzik.

“Dengan peluang yang diberi saya gunakan sebaik-baiknya. Pembabitan saya itu semata-mata disebabkan minat, sebab itu saya masih lagi meneruskan kerjaya dalam bidang ini, meskipun lebih banyak melakukan kerja di sebalik tabir,” ujarnya.

Walaupun kini dia sudah terbabit semula sebagai penyanyi menerusi album nasyid terbaharunya itu, Daqmie menjelaskan dia masih lagi meneruskan kerjayanya sebagai jurutera bunyi seperti biasa.