Bazar ala Perancis di Carcosa Seri Negara

WALAUPUN bazar amal ini diadakan cuma sehari, ia tetap mendapat sambutan menggalakkan daripada pengunjung.


SAMBUTAN Hari Krismas hanya tinggal dua hari lagi. Penganut agama Kristian semakin membanjiri kompleks-kompleks beli-belah untuk membeli kelengkapan rumah, pakaian baharu dan hadiah buat keluarga tersayang.

Perayaan itu dilihat bukan sekadar satu sambutan tahunan tetapi turut dianggap sebagai musim pemberian hadiah.

Memasuki tahun ketiga penganjuran, Bazar Krismas Perancis atau Le Marche de Noel telah diadakan di Carcosa Seri Negara, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Bertujuan mengumpul dana bagi dua organisasi amal, bazar tersebut telah menerima sambutan yang amat memberangsangkan apabila berjaya membuat kutipan mencecah RM102,000 dalam sehari, melebihi sasaran awal iaitu RM80,000.

Kutipan dana tersebut akan diagihkan kepada badan Make A Wish Malaysia dan program A-Heart for A-Heart bagi membantu kanak-kanak yang menghidapi penyakit kronik yang mengancam nyawa dan pesakit barah hati di seluruh negara.

Menariknya, bazar tersebut diilhamkan oleh empat wanita Perancis yang sudah lama menetap di negara ini. Mereka terdiri daripada Florence Lambert Lee, Flavie Causse-Fournial, Elodie Michel dan Nadege Lubrano.

Lambert Lee berkata, dia dan rakan-rakannya ingin memberikan sesuatu kepada kanak-kanak di Malaysia kerana menganggap negara ini tidak ubah seperti rumah kedua mereka.

“Kutipan dana diperoleh daripada bayaran sewa tapak kepada peniaga dan tiket yang dikenakan kepada 340 tetamu bagi majlis makan malam amal di sini.


UNIK. Seorang pengunjung tertarik dengan rekaan patung anak beruang bercorak batik tempatan.


Saringan

“Setiap peniaga dikehendaki menghantar borang penyertaan bazar melalui e-mel dengan melampirkan keunikan produk yang ingin dijual,” ujarnya yang sudah menetap di Kuala Lumpur selama 20 tahun sejak berkahwin dengan seorang warga tempatan.

Jelasnya, proses saringan peniaga dibuat bagi memastikan produk yang dipamerkan di bazar berkenaan tidak sama dengan produk lain yang ada di pasaran.

Sebanyak 55 gerai dibuka dan menawarkan pelbagai jenis barangan seperti aksesori, pakaian kanak-kanak dan wanita serta peralatan hiasan dalaman rumah. Antara gerai yang berjaya menarik perhatian pengunjung ialah gerai pakaian kanak-kanak oleh Whimsigirl Design dan Dandelion yang mendapat sentuhan pereka dari Perancis.

Pemilik Whimsigirl Design, Syazana Sukiman berkata, rekaan yang dihasilkannya cuba mengangkat pakaian tradisional tempatan menjadi lebih versatil dengan sentuhan antarabangsa.

“Jenama kami menggunakan nama seperti Jebat, Mahsuri, Juanita, Tuah, Bedah dan Rani pada koleksi rekaan yang sesuai dipakai oleh bayi sehingga kanak-kanak berumur empat tahun.

“Kami cuba menjadikan pakaian tradisional seperti baju kurung, baju Melayu, dan kebaya sesuai dipakai oleh kanak-kanak bukan sahaja pada musim perayaan tetapi sebagai pakaian harian,” katanya yang turut memiliki sebuah premis di kompleks beli-belah Publika, Solaris Dutamas, Kuala Lumpur.