14 maut ibu pejabat polis dibom

PENDUDUK melihat kesan letupan bom di bangunan ibu pejabat polis di bandar Mansoura yang terletak sekitar 110 kilometer dari Kaherah semalam.


MANSOURA - Sebuah bom kereta memusnahkan sebahagian sebuah bangunan ibu pejabat polis Mesir semalam dengan menyebabkan sekurang-kurangnya 14 orang maut dalam serangan yang disifatkan pihak berkuasa sebagai cubaan untuk menggagalkan peralihan demokrasi di negara itu.

Beberapa jam selepas pengemboman di bandar ini yang terletak di utara Kaherah, Perdana Menteri, Hazem Beblawi melabelkan pergerakan Ikhwanul Muslimim sebagai kumpulan pengganas.

Beliau bagaimanapun tidak menyalahkan Ikhwanul Muslimin berhubung letupan itu.

Pergerakan itu turut mengutuk keras serangan tersebut yang merupakan antara paling berdarah di Mesir sejak tentera menumbangkan Presiden Mohamed Morsi, Julai lalu.

Pengeboman tersebut berlaku beberapa minggu menjelang satu pungutan suara berhubung perlembahaan baharu yang dilihat sebagai langkah pertama ke arah pemerintahan demokrasi selepas Morsi digulingkan.

Beberapa pegawai berkata, bom kereta itu yang meletup selepas pukul 10 malam turut menyebabkan sekurang-kurangnya 100 orang cedera.

"Majoriti mangsa yang cedera adalah anggota polis," kata Gabenor Wilayah Daqahleya, Omar Al-Shawatsi

Seorang wartawan agensi berita Associated Press (AP) di lokasi kejadian menyatakan, letupan kuat itu dapat didengari pada jarak sekitar 20 kilometer.

Ia menyebabkan bahagian hadapan dan sebahagian bangunan tersebut runtuh.

Setakat ini, belum ada pihak yang mengaku bertanggung jawab melakukan serangan tersebut. - AFP