Neelofa anggap tidak masuk akal

KUALA LUMPUR - Pelakon popular, Noor Neelofa Mohd. Noor menganggap khabar angin dia ditangkap khalwat bersama seorang tokoh korporat sebagai tidak masuk akal dan boleh menjatuhkan imej serta kredibilitinya sebagai artis.

Neelofa, 24, yang dihubungi menerusi aplikasi WhatsApp semalam berkata, dia tidak menolak kemungkinan fitnah yang disebarkan itu bertujuan untuk memalukannya.

Katanya, secara jujurnya dia sendiri tidak tahu-menahu tentang perkara berkenaan sehingga ia tersebar.

"Sekiranya perkara tersebut benar, pastinya saya masih berada di Malaysia untuk menyelesaikan kes yang didakwa itu.

"Kalau benar ia berlaku, dakwaan tersebut haruslah mempunyai laporan polis dan surat Jabatan Agama Islam serta saksi-saksi," katanya yang ketika ini sedang melancong di London, England.

Semalam Kosmo! melaporkan penafian pengurus Neelofa, Mohd. Amer Syafiq Khalip mengenai berita pelakon berkenaan ditangkap khalwat malam Khamis lalu bersama lelaki yang dipercayai suami seorang selebriti.

Menurut Amir, pada malam Neelofa dikatakan ditangkap khalwat, dia menemani pengacara program MeleTop itu ke majlis pelancaran Galaxy Mobile App di sebuah restoran terkemuka di ibu negara.

Dalam perkembangan sama, Neelofa turut mengharapkan pihak terlibat berhenti menyebarkan berita tidak benar mengenai dirinya.

"Saya harap orang yang berkenaan bertanggungjawab ke atas fitnah yang disebarkan," ujarnya.