Perodua sasar jualan 4,300 unit sebulan untuk Alza baharu

10/01/2014 10:32pm

PETALING JAYA - Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (Perodua) menyasarkan untuk menjual 4,300 unit sebulan model Alza yang baharu, dibantu pengurangan dalam harga antara RM1,000 dan RM5,500.

Ketua Pegawai Eksekutif/Presiden, Datuk Aminar Rashid Salleh berkata, penurunan harga itu adalah selaras dengan hasrat kerajaan agar syarikat pengeluar kereta mengurangkannya secara beransur-ansur.

“Kami mengurangkan harga di atas jalan untuk pelbagai variasi Alza antara 2.1 peratus dan 7.4 peratus. Pengurangan itu akan menjadikan kenderaan pelbagai guna itu paling kompetitif di pasaran,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran Perodua Alza baharu hari ini.

Beliau berkata, pengeluar kereta kedua negara itu mampu mengurangkan harga kerana ia berupaya menjimatkan kos di kalangan rangkaian pengedar dan meningkatkan produktiviti di semua peringkat.

Harga kereta Alza terbaru bermula daripada RM52,400 untuk edisi Standard (MT), manakala Standard (AT) adalah RM3,000 lebih tinggi pada RM55,400.

Edisi SE, dijual dengan harga RM56,400 untuk MT dan RM59,400 untuk AT.

Advanced Version edisi automatik dijual dengan harga RM64,000 OTR.

Alza, seperti semua model Perodua sejak S-Series dilancarkan pada Mac 2013, disertakan tiga tahun servis percuma. - Bernama