Felda United dijana oleh Puma


ANDRADE (kanan) bersama Fuad (kiri) pada majlis penyerahaan jersi Puma untuk skuad Felda United di ibu negara semalam.


FELDA United akan dijana oleh Puma pada saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2014 yang bakal membuka tirainya minggu depan.

Puma akan tampil selaku penaja Felda United untuk selama tiga musim sehingga 2016.

Dengan penajaan tersebut, Felda United akan tampil dengan jenama Puma dalam saingan Liga Premier sekali gus mengikut jejak juara Piala Malaysia 2013, Pahang yang turut dijana oleh syarikat pengeluar barangan sukan berkualiti itu.

Ketika mengulas mengenai penajaan tersebut, Pengarah Urusan Puma bagi rantau Asia Tenggara, Miguel Andrade menjelaskan bahawa pihaknya memiliki keyakinan yang tinggi terhadap skuad Felda United yang dilihat mampu memberi saingan kepada pasukan-pasukan elit dalam saingan Liga Premier musim ini.

"Kami sentiasa meletakkan tahap kualiti yang tinggi sebagai penanda aras kami dan Felda United sememangnya memiliki segala ramuan untuk membuktikan kemampuan untuk melayakkan diri ke Liga Super musim depan.

"Secara peribadi, saya merasakan bahawa anda adalah duta terbaik bagi jenama kami dalam Liga Premier," kata Andrade pada majlis pengumuman penajaan perjanjian dengan Felda United di Kuala Lumpur semalam.

Seiring dengan aspirasi jangka panjang Puma untuk menjadi kuasa dominan dalam acara sukan berpasukan, Andrade menambah bahawa ia memang menjadi harapannya untuk melihat Felda United kembali bersaing pada pentas tertinggi.

Majlis semalam turut disaksikan Pengarah Bahagian Sukan Felda, Datuk Ahmad Fuad, Ketua Pemasaran Puma Malaysia, Gabriel Yap serta para pegawai, jurulatih dan pemain Felda United.

Dalam kenyataan ringkasnya, Ahmad Fuad merakamkan penghargaan kepada Puma atas keyakinan yang diletakkan terhadap pasukan Felda United.

Menurutnya, penajaan tersebut pastinya akan membantu meningkatkan motivasi para pemain dan pasukan untuk menampilkan persembahan terbaik pada saingan Liga Premier nanti.

"Kami melalui musim yang sukar tahun lalu, namun kami yakin nasib kami akan berubah tahun ini dengan sokongan Puma sekali gus meningkatkan gaya persembahan kami musim ini," tambah Ahmad Fuad.

Pada majlis tersebut, Ahmad Fuad juga mengumumkan bahawa Datuk Jamaludin Ahmad dilantik sebagai pengurus pasukan Felda United manakala bekas pengendali Selangor, Irfan Bakti Abu Salim akan menggalas tugas sebagai jurulatih dan dibantu oleh Azuan Zain.

Pada musim ini, Felda United yang membuat kemunculan pertama dalam Liga M pada tahun 2007, akan menjadikan Stadium MBPJ di Kelana Jaya sebagai gelanggang sendiri.