Angkatan baharu Cat Farish & Tiga Swagger

MEMPERTARUHKAN genre muzik hip hop Cat Farish & Tiga Swagger kini muncul dengan single pertama Opss! Aku Dah Ter... bersama Zizan dan Echa.


BERMULA dengan kumpulan Ruffedge, jenama The Fabulous Cats melebarkan lagi kembara Cat Farish terhadap muzik. Setelah 10 tahun bergaul dengan sepak terajang seni muzik, penyanyi hip hop yang turut popular sebagai komposer itu muncul lagi dengan sebuah produk baharu.

Kali ini, dia menggunakan segala pengalamannya untuk membawa masuk jenama Cat Farish & Tiga Swagger kepada khalayak. Bersama angkatan yang mulanya menjadi teman lepak dan berkongsi minat dalam sukan papan lasak seperi papan selaju dan basikal BMX, Cat percaya bahawa muziknya harus diperluaskan mengikut trend semasa.

"Tiga Swagger mulanya hanya saya, Bee.Ru dan Eddie Ghiller. Projek ini awalnya bukan atas perancangan secara serius, banyak yang kebetulan. Apabila sudah buat beberapa buah lagu, kami rasa sebuah kumpulan penyanyi vokal tidak boleh pergi jauh tanpa elemen boy band, jadi kami buat uji bakat dan jumpa Syiffa jadi ahli baharu.

"Tak cukup seorang sahaja ahli rambut kembang iaitu Eddie, kami ambil DJ Rangga jadi ahli menggantikan seorang ahli asal kami, DJ Krates yang bawa haluan ke tempat lain. Kiranya Syiffa juga penyeri sebab kami semua muka pecah rumah," jelas Cat sambil menegaskan Tiga Swagger kini dalam proses pembikinan album sulung.

"Jadi projek bersama Tiga Swagger ini bukan tiba-tiba. Bagi saya buat album itu aset untuk pergi lebih jauh dalam muzik. Setakat keluar single sahaja, rasanya tidak sah," jelas Cat yang mempunyai banyak perancangan termasuk menyiapkan album solo anggota Fabulous Cats iaitu Zizie dan kembali membikin album studio bersama Ruffedge.

Menurut Cat, penghasilan album bersama Tiga Swagger juga turut mendapat khidmat produksi dan pemantauan daripada Luncai Emas sebagai penerbit bersama.

"Rupa-rupanya Datuk M. Nasir seorang yang hip hop," celah Eddie yang kagum dengan penerimaan dan pengetahuan muzik M. Nasir.

"Bagi saya M. Nasir faham muzik kami, dia suka sebab katanya, muzik hip hop kami ada melodi dan lirik yang baik. Dia juga seorang sangat teliti. Untuk siapkan 12 lagu dalam album, dia baru beri lampu hijau untuk dua buah lagu sahaja. Lagi 10 lagu, kena cari lain," kata Cat menyatukan Godzila Boombox dan Luncai Emas sebagai rakan penerbitan bersama untuk album yang dijangka siap Mac nanti.

Cat Farish & Tiga Swagger pernah terlibat dalam beberapa projek seperti Setia Malaysia 2012, Nadi Rakyat dan Warisan serta lagu Suara Generasiku untuk projek Gagasan Belia 1Malaysia.

Setelah agak lama berkecimpung dalam acara muzik tertutup, persembahan dan projek kemasyarakatan, tahun ini membuka laluan cerah untuk mereka memasuki arus muzik perdana tanah air.

Single pertama daripada album berkenaan Opss! Aku Dah Ter... bersama Zizan Razak dan Echa juga telah berputar di radio.