Siti sasar kutipan dana sejuta ringgit

SITI bakal muncul dengan konsert terbaharunya pada 7 dan 8 Februari depan.


PERIBAHASA Melayu ada mengatakan, berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Itulah yang cuba disampaikan oleh penyanyi tersohor negara, Datuk Siti Nurhaliza, 35, melalui penganjuran Konsert Where The Heart Is yang akan berlangsung di Plenary Hall, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 7 dan 8 Februari depan.

Menurut Siti, konsert yang dianjurkan oleh Yayasan Nurjiwa bersama Siti Nurhaliza Production dan SimplySiti Sdn. Bhd. ini diadakan bertujuan untuk mengumpul dana bagi membantu golongan yang memerlukan, terutamanya anak-anak yatim, golongan miskin, orang kelainan upaya serta mangsa bencana alam.

“Baru-baru ini kita semua dikejutkan dengan bencana banjir yang melanda negeri Pahang. Kejadian itu menyebabkan mereka yang terlibat mengalami kerugian besar serta hilang tempat untuk bergantung.

“Justeru, saya dan suami mengambil inisiatif untuk turun padang dan sama-sama membantu menyalurkan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir di sana.

“Bertitik tolak daripada peristiwa itu, saya berhasrat untuk menganjurkan sebuah konsert yang dapat mengumpulkan dana bagi tabung Yayasan Nurjiwa untuk membantu mereka yang ditimpa kesusahan,” ujar Siti ketika ditemui pada sidang akhbar pengumuman konsert tersebut di pejabat rasmi SimplySiti di Menara Atlan, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Dalam pada itu, Siti turut menyasarkan kutipan melebihi RM1 juta bagi memenuhi tabung dana yayasan tersebut bagi memudahkannya membantu mereka yang memerlukan pada masa akan datang.

“Melalui pembelian tiket konsert ini, para peminat bukan sahaja boleh berhibur dan menonton persembahan saya secara langsung, malah turut sama menghulurkan bantuan untuk mereka yang memerlukan,” katanya

Konsert santai

Berbicara mengenai konsert yang menelan belanja lebih RM100,000 itu, Siti memberitahu, dia bakal mempersembahkan lagu-lagu hitnya secara santai sambil diiringi orkestra mini yang dipimpin oleh pengarah muzik terkemuka, Aubrey Suwito.

“Saya tidak mahu tampil serius sepanjang konsert ini berlangsung. Pada malam itu nanti, saya mahukan hubungan dua hala berlaku antara saya dan penonton. Mungkin akan ada sesi soal jawab antara peminat dan saya.

“Konsert ini turut mengangkat tema putih dan warna-warna pastel bagi menggambarkan kesucian dan ketelusan penganjurannya.

“Saya berharap para penonton yang ingin datang turut memberikan tanda sokongan dengan mengenakan pakaian berwarna putih,” ujarnya yang masih lagi dalam proses memilih kombinasi lagu-lagu dan segmen untuk dipersembahkan pada malam konsert itu nanti.

Para peminat boleh mendapatkan tiket untuk Konsert Where The Heart Is bermula hari ini di www.redtix.airasia.com pada harga RM800, RM518, RM388, RM238, RM118 dan RM88.

Album baharu

Siti dan lagu-lagu berentak pop seperti tidak dapat dipisahkan. Kali terakhir, pelantun lagu Biarlah Rahsia ini muncul dengan album penuh bahasa Inggeris bertajuk All Your Love.

Sudah lama tidak hadir dengan buah tangan untuk peminat, penyanyi berbintang Capricorn ini bakal memasuki studio pada bulan ini bagi merakamkan lagu-lagu untuk album studio baharunya.

“Saya bakal memasuki studio pada bulan ini untuk proses merakamkan suara. Sudah ada beberapa buah lagu yang terpilih untuk dimuatkan dalam album kali ini dan selebihnya masih dalam pertimbangan.

“Kali ini, saya akan menggunakan khidmat komposer-komposer tempatan dan juga Indonesia. Antara yang terlibat termasuk Melly Goeslaw, Adi 6ixth Sense dan Awi Rafael,” katanya lagi.