Ibu mangsa pesawat Cessna selar kenyataan persenda punca kejadian

13/01/2014 11:37pm

KUALA LUMPUR - Ibu Syed Haidar Syed Zuklifli, juruterbang pelatih yang cedera dalam insiden pesawat terhempas di Empangan Batu Jumaat lepas, meluahkan rasa kecewa apabila ada pihak yang sengaja mempersenda punca kejadian itu yang dikatakan berlaku kerana mengelak burung helang.

Sharifah Hatun Hanisah Syed Abd Rahman, 46, yang ditemui Bernama di Hospital Selayang hari ini, berkata sesiapa sahaja akan sakit hati dan berang jika ada pihak membuat andaian tanpa menyelidik apa yang sebenarnya berlaku terlebih dahulu.

"Sudahlah anak saya ditimpa bala, ada pula pihak mahu memperlekeh punca insiden. Sesiapa sahaja kalau di tempat saya, pasti kesal kerana ini membabitkan soal nyawa, katanya.

Sharifah Hatun Hanisah, yang berasal dari Perak dan kini menetap di Dataran Templer, Bandar Baru Selayang, berkata, anaknya bersama Kapten Saiful Farid Amri Amrizal, 22, dan Shaiful Zafiq Razali, 24, tidak mungkin menipu apatah lagi ada saksi yang melihat pesawat itu mengelak daripada melanggar burung helang.

"Saya diberitahu kejadian itu turut disaksikan dua penduduk Empangan Batu yang ketika itu sedang memancing di kawasan sekitar. - Bernama