Pengerusi kariah masjid dipilih sebagai Tokoh Maulidur Rasul Pulau Pinang

14/01/2014 2:52pm

GEORGE TOWN - Pengerusi Kariah Masjid Jamek Sungai Pinang, Prof. Madya Dr. Fadhlullah Jamil, 69, telah dipilih sebagai penerima Anugerah Tokoh Maulidur Rasul Pulau Pinang bagi tahun 2014.


FADHLULLAH (kanan) menerima Anugerah Tokoh Maulidur Rasul Pulau Pinang bagi tahun 2014 yang disampaikan oleh Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Rahman Abbas di sini hari ini. - KOSMO!/SAZALI CHE DIN


Beliau yang juga pensyarah sambilan di Universiti Sains Malaysia dipilih menerima anugerah itu berdasarkan jasa dan sumbangannya dalam memartabatkan agama Islam di dalam dan luar negara termasuklah menerusi siri-siri ceramah selain penghasilan majalah dan buku berkaitan Islam.

Tiga lagi individu turut dipilih menerima anugerah khas sempena sambutan Maulidur Rasul yang diadakan di Dewan Seri Pinang di sini hari ini.

Mereka adalah Allahyarham Mohd. Redzuan Abdul Wahab (Anugerah Khas Pendidikan), Ahmad Sani Araby Abdul Halim Araby, 30, (Anugerah Khas Anak Muda) dan Prof. Madya Dr. Darah Ibrahim, 58, yang menerima Anugerah Qudwatur Rasul. - KOSMO.