157 keluarga mangsa banjir Kota Belud akan terima bantuan segera - Shahidan

17/01/2014 8:09pm

KOTA BELUD - Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, bantuan akan segera disalurkan kepada 157 keluarga mangsa banjir di Kota Belud yang ditempatkan di Dewan Masyarakat Kota Belud di sini, sejak Rabu lepas.

Beliau berkata, sebaik sahaja laporan mangsa banjir berkenaan diterima daripada Pegawai Daerah, bantuan akan terus disalurkan kepada mereka.

"Insya-Allah Majlis Keselamatan Negara akan memberi peruntukkan (sumbangan) seperti yang disebut Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di peringkat nasional kepada mereka yang dipindahkan ke pusat pemindahan banjir, katanya.

Shahidan berkata demikian kepada pemberita selepas melawat 452 mangsa banjir di Dewan Masyarakat Kota Belud, pagi tadi.

Kebanyakan mangsa banjir adalah dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Usukan dan sebilangan kecil dari DUN Tempasuk.

Turut hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Seri Salleh Tun Said.

Sementara itu, Pegawai Daerah Kota Belud Abdul Gari Itam ketika dihubungi Bernama berkata kesemua 452 mangsa banjir dari 17 buah kampung yang ditempatkan di Dewan Masyarakat Kota Belud itu, telah pulang ke kampung masing-masing pukul 5 petang tadi. - Bernama