Konsert Ungu 28 Februari di Malaysia


UNGU dianggotai (dari kiri) Makki, Onci, Pasha, Enda dan Rowman.


KALI terakhir band popular dari Indonesia, Ungu mengadakan konsert berskala besar sekitar tahun 2010 menerusi Konsert Mega Ungu Malaysia.

Biarpun cuma 2,000 hadirin yang membanjiri kerana pada masa yang sama terdapat dua lagi konsert berskala besar sedang berlangsung iaitu Konsert Double Trouble, gabungan Search dan Wings serta konsert kumpulan dari Jerman, Tokio Hotel.

Namun, Ungu tegar untuk sekali lagi hadir mengadakan konsert. Kali ini, mereka akan menghiburkan peminat pada 28 Februari 2014 bertempat di Kenanga Wholesale City, Star Stage, Kuala Lumpur.

Menerusi konsert Ungu Live di Malaysia, band Ungu yang dianggotai oleh Pasha (vokalis), Makki (bass), Enda (gitar), Onci (gitar) dan Rowman (drum) itu begitu teruja untuk kembali mengadakan persembahan di Malaysia.

Malah, segala persiapan untuk konsert tersebut juga sudah dibuat sebulan lebih awal daripada tarikh rencananya mereka hadir ke Malaysia.

"Kami sangat teruja kerana sekali lagi berpeluang mengadakan konsert di Malaysia. Ia juga menjadi penanda bahawa sudah empat kali kami datang ke Malaysia. Buat masa ini, kami berada Jakarta, Indonesia untuk mempersiapkan diri bagi konsert tersebut.

"Untuk konsert itu nanti, kami akan tampilkan kelainan dari segi pakaian, susunan muzik dan ia akan menjadi konsert teristimewa kami. Kami teruja bangat (sangat) untuk membuat persembahan nanti," jelas gitaris Ungu, Enda ketika ditemu bual secara dalam talian pada majlis sidang akhbar konsert berkenaan di Hotel Vivatel, Kuala Lumpur.

Bakal menyanyikan lagu-lagu popular Ungu seperti Kekasih Gelapku, Andai Ku Tahu dan Demi Waktu, ungkap Enda lagi, Ungu juga akan menyanyikan single terbaharu mereka berjudul Seperti Bintang yang merupakan lagu runut bunyi bagi drama sinetron terkenal Indonesia, Bima Sakti Garuda.


KONSERT Mega Ungu Malaysia dianjurkan oleh syarikat E&F Event Resources.


Sementara itu, menurut Fendi Hassan, Pengerusi syarikat E&F Event Resources yang juga merupakan penganjur konsert tersebut, Ungu dipilih berbandig band-band terkenal lain di Indonesia ekoran sambutan hangat terhadap Konsert Mega Ungu Malaysia yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada tahun 2010.

"Kumpulan Ungu mempunyai peminat yang ramai di Malaysia. Bersempena Tahun Melawat Malaysia 2014, kami juga berharap agar pelancong dari negara jiran juga berpeluang menyaksikan konsert ini.

"Konsert ini akan berlangsung selama tiga jam bermula pada pukul 8.30 malam," ujar Fendi yang menyasarkan sebanyak 9,000 penonton hadir pada konsert Ungu itu.

Menyingkap sedikit mengenai latar belakang band Ungu, ia ditubuhkan pada tahun 1996.

Sehingga tahun 2013, Ungu telah menghasilkan enam album dan juga lima album mini religi.

Ungu juga pernah mengeluarkan album yang berjudul Melayang (2005) dengan menampilkan lagu Demi Waktu. Lagu itu seterusnya menjadi lagu hits dan berjaya merangkul anugerah double platinum di Indonesia.

Melalui lagu itu juga, Ungu berjaya menembusi pasaran Malaysia melalui syarikat rakaman Suria Records Sdn. Bhd. (SRC).

Sejak daripada itu lagu-lagu Ungu berjaya mencuri hati peminat seperti Tercipta Untukku, Kekasih Gelapku dan Andai Ku Tahu.

Bagi yang ingin menyaksikan konsert Ungu pada 28 Februari ini, peminat band itu boleh membeli tiket dengan melayari laman web www.ticketcharge.com.my.

Tiket-tiket konsert Ungu dijual pada harga RM98, RM138, RM188 dan RM238. - FATEN SAPHILLA MOHAMED ISA