DS3 pelengkap siri DS tempatan



BEKAS Presiden Perancis, Charles De Gaulle dan isterinya pernah melalui saat-saat mendebarkan sewaktu dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Orly pada 22 Ogos 1962.

Kenderaan yang dinaiki pasangan itu dihujani 140 butir peluru daripada laras senapang 12 anggota kumpulan Secret Army Organization (OAS) yang mahu membunuh De Gaulle gara-gara tidak berpuas hati terhadap tindakannya menyerahkan Algeria kepada para nasionalis Algeria.

Laman www.history.com melaporkan, serangan itu mengakibatkan semua tayar kereta itu meletup namun pemandu presiden masih mampu meneruskan pemanduan untuk menyelamatkan De Gaulle dan isterinya.

Jika tidak kerana sistem suspensi hidropneumatik, De Gaulle mungkin sudah mati. Sistem itu membantu mengimbangi ketinggian kereta, beban dan jenis permukaan jalan.

Itulah yang dikatakan membantu menyelamatkan nyawa De Gaulle dan isterinya. Kereta yang terlibat dalam insiden itu ialah Citroen DS19.

Insiden itu bukan nasib baik sebaliknya Citroen sudah cukup terkenal dengan kemajuan teknologi. Antara hasil ciptaan syarikat Perancis itu termasuklah pemasangan sistem pacuan roda hadapan kenderaan pada 1934, sistem suspensi hidropneumatik (1954) dan sistem brek cakera (1955).


DI pasaran antarabangsa, pemilik DS3 boleh memilih pilihan material yang disediakan untuk mempamerkan kelainan pada kereta masing-masing.


Debut Citroen DS19 berlangsung di Pameran Paris Motor Show (PMS), Perancis pada tahun 1955. Dalam sekelip mata, model pengganti kepada Traction itu menjadi buah mulut industri automotif global. Malah ia cukup popular sehingga mendapat tempahan sebanyak 12,000 unit pada hari pertama ia dipamerkan.

Produksi siri DS berterusan selama 20 tahun sebelum ditamatkan pada 24 April 1975. Jumlah kenderaan yang dihasilkan sepanjang tempoh itu mencecah 1.5 juta unit.

Citroen, di bawah PSA Peugeot Citroen membuka lembaran baharu pada 1990 apabila melaksanakan aktiviti penjenamaan semula jenamanya. Pengumuman tersebut dilakukan pada tahun ke-90 penubuhannya.

Kelahiran siri DS

Apa yang menarik ialah Citroen menyatakan inisiatif mahu memperkenalkan semula siri DS (Different Spirit). Perkara itu terserlah apabila Citroen memperagakan model konsep DS Insight di pameran Geneva Motor Show 2009.

Setahun kemudiannya, model DS3 mula dihasilkan dalam keluarga DS untuk dipasarkan ke beberapa negara. Tahun 2011 pula menyaksikan pengenalan model DS4 dan DS5.

Reka bentuk siri DS baharu mempamerkan hala tuju baharu Citroen. Menurut laman www.netcarshow.com., individu di sebalik projek gayaan siri DS ialah seorang pereka Britain, Mark Lloyd.

Citroen DS menunjukkan trend pertumbuhan yang agak sederhana sejak diperkenalkan. Tahun 2010 (untuk model DS3 sahaja), jumlah kenderaan dijual hanyalah 85,000 unit.

Berdasarkan laporan kewangan PSA Peugeot Citroen, syarikat mencatat jualan terkumpul bagi tiga model DS (DS3, DS4 dan DS5) sebanyak 300,000 unit sepanjang dua tahun bermula 2010.

Ketibaan barisan DS dilihat sebagai penyelamat jenama Citroen sekali gus membantu pengeluar kenderaan itu keluar daripada kancah kelesuan perniagaan.

Di Malaysia, tugas menyemarakkan jenama Citroen menjadi tanggungjawab kepada anak syarikat Kumpulan Naza, Naza Euro Motors Sdn. Bhd. (Naza Euro) sejak 1 Januari tahun lalu. Sebelum ini, pengimport dan pengedar produk Citroen di Malaysia digalas oleh Brooklands Motor.


RUANG dalaman DS3 tampak kompak namun mampu memperagakan susun atur yang lebih tersusun.


Naza Euro Motors tidak menunggu lama untuk memasarkan siri ikonik Citroen. Sebagai permulaan, entiti itu melancarkan varian DS4 dan DS5.

Bagi melancarkan operasi perniagaannya, sebuah pusat 3S (jualan, servis dan alat ganti) telah dibangunkan di Glenmarie, Selangor. Ia menelan kos pelaburan sebanyak RM3.5 juta.

Tahun 2013 juga menyaksikan sayap perniagaan Naza Euro diluaskan ke Pulau Pinang dan Johor. Sasaran pelanggan Citroen berada di bandar-bandar besar sahaja.

Ketua Pegawai Operasinya, Datuk Samson Anand George ada menyatakan, Naza Euro akan menambah dua lagi cawangan di ibu negara.

Naza Euro bakal melancarkan model DS3 tidak lama lagi sekali gus melengkapkan barisan DS di Malaysia. Model Citroen DS3 pernah dipamerkan pada Kuala Lumpur International Motor Show 2013.

Citroen DS3 bakal berdepan saingan sengit dengan beberapa model premium popular seperti MINI Cooper, Volkswagen Polo dan Audi A1.

Sejauh mana kemampuan DS3 bersaing dan kekal relevan dalam segmen premium terletak kepada kebijaksanaan rancangan Naza Euro.

Malah ada desas-desus mengatakan DS3 berkemungkinan tersenarai sebagai satu produk pemasangan tempatan dalam tempoh beberapa tahun lagi. Sejauh mana kebenarannya, nantikan sahaja.