V Shem-Khim Wah garang


KHIM WAH (kiri) dan V-Shem mara ke separuh akhir selepas menewaskan pasangan England, Chris Langridge-Peter Mills 21-16, 21-14 semalam.


BEREGU lelaki negara, Goh V Shem-Lim Khim Wah tidak berdepan masalah untuk mengharungi aksi suku akhir pada Kejohanan Badminton Siri Super Premier Terbuka Malaysia 2014.

Pada aksi di Stadium Putra, Bukit Jalil semalam, beregu ke-16 dunia itu berjaya mengekalkan konsistensi untuk membawa cabaran tunggal negara dalam aksi beregu lelaki selepas menewaskan pasangan England, Chris Langridge-Peter Mills 21-16, 21-14.

Bagaimanapun, V Shem mengakui, mereka sedikit goyah kerana terlalu fokus dengan setiap serangan yang dilakukan oleh pencabarnya itu.

"Mungkin sebab perlawanan ini tidak terlalu sukar, kami pula terlalu fokus sehingga membuat kesilapan sendiri tetapi kalau dilihat secara keseluruhan, permainan kami pada hari ini (semalam) tidak berkualiti sangat.

"Saya juga tidak menafikan kami berasa tertekan, mungkin kerana tinggal kami sahaja beregu negara tetapi kami tidak mahu menjadikannya alasan kerana sasaran kami sebelum masuk gelanggang tadi adalah untuk menang.

"Saya harap dapat buat lebih baik lagi nanti. Kalau hendak bandingkan dengan perlawanan semalam (kelmarin), yang itu lebih menarik kerana ada saingan. Hari ini lebih mudah sikit," ujar V Shem.

Langridge-Mills pernah membuat kejutan pada pusingan pertama kejohanan apabila menewaskan beregu kedua negara, Hoon Thien How-Tan Wee Kiong 18-21, 21-19, 22-20.

Pada aksi separuh akhir hari ini, V Shem-Khim Wah akan bertemu Angga Pratama-Ryan Agung Saputra dari Indonesia yang turut mara selepas menumbangkan pasangan Korea Selatan, Lee Yong Dae-Yoo Yeon Seong 22-20, 21-16.

Ditanya mengenai persiapan untuk bertemu beregu ke-11 dunia itu, Khim Wah berharap mereka mampu bermain dengan lebih baik dan konsisten.

"Saya harap dapat lebih bersedia ketika menentang mereka nanti kerana kami pernah menang sebelum ini tetapi pertemuan terakhir kami tewas," tambah Khim Wah.

Pasangan itu turut membuat kejutan pada pusingan pertama apabila menumbangkan beregu ketiga dunia, Mathias Boe-Carsten Mogensen pada Rabu lalu.

Sementara itu, saingan suku akhir menjadi semakin menarik selepas pilihan kedua dari China, Chen Long tersingkir.

Chen Long tumpas kepada pemain Jepun, Kenichi Tago 18-21, 21-9, 10-21.

Bagaimanapun, Chen Long ketika mengulas mengenai kekalahan mengejut itu mengakui tidak berasa sihat ekoran keadaan cuaca di negara ini yang agak panas.

Sebelum ini, Chen Long mengakui, dia terpaksa beraksi dalam keadaan suhu sejuk iaitu ketika menjuarai Terbuka Korea 2014 Ahad lalu di Seoul.

"Saya berasa tidak sihat hari ini (semalam) mungkin demam. Latihan juga tidak cukup. Mengenai prestasi Tago pula, anda rasa bagaimana? Dia juga bagus.

"Bagi saya ia normal, kerana pemain-pemain muda pada kejohanan ini telah mula menunjukkan peningkatan yang baik, ia sekali gus menjadikan kejohanan ini menjadi semakin sengit," ujar Chen Long.