Gaung maut Bukit Tabur


PEMANDANGAN indah yang mendamaikan dari puncak Bukit Tabur menggamit pengunjung dari dalam dan luar negara.


TRAGEDI yang berlaku pada 4 Disember lalu mungkin menyebabkan David Spencer, 29, mengalami trauma seumur hidup untuk mengikuti sebarang aktiviti pendakian.

Manakan tidak, hasrat warga Britain itu untuk melihat keindahan panorama Empangan Klang Gates di Bukit Tabur dekat Taman Melawati, Hulu Klang, Selangor bersama seorang kenalan, Ng Pee Tat, 32, bertukar menjadi igauan ngeri apabila rakannya itu maut selepas terjatuh ke dalam gaung sedalam 20 meter (m).

Spencer, seorang guru muzik di sebuah sekolah antarabangsa di Setia Alam, Shah Alam memberitahu, mereka berdua memulakan pendakian sekitar pukul 6 petang dan berjaya tiba di Check Point 9 tidak lama kemudian.

Bagaimanapun, mereka tersesat dan gagal menemukan jalan keluar selepas hari bertambah gelap.

“Kami menggunakan seutas tali semasa menuruni bukit, namun keadaan begitu licin menyebabkan kami tiada tempat untuk berpaut.

“Saya nampak Pee Tat cuba mencapai dahan pokok namun dia hilang keseimbangan badan lalu terjatuh ke dalam gaung,” kata Spencer.

Insiden tersebut seolah-olah menjadi pemula kejadian jatuh gaung di Bukit Tabur menjelang tahun 2014.

Ia terbukti apabila sebulan selepas itu, seorang pendaki wanita, Noor Hasmahani Hashim yang mendaki bukit itu secara solo hampir menemui ajal selepas dia tergelincir ke dalam gaung sedalam kira-kira 10m.

Wanita berumur 28 itu bagaimanapun bernasib baik kerana diselamatkan oleh rimbunan dahan pokok di gaung tersebut.

Meskipun demikian, anggota penyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat Ampang terpaksa mengambil masa selama 12 jam untuk mengeluarkan mangsa dari lokasi kejadian.


PASUKAN penyelamat terpaksa menggunakan helikopter untuk mengeluarkan mangsa dari puncak Bukit Tabur kerana laluan darat yang curam dan berbahaya.


Lokasi sama

Noor Hasmahani yang menetap di Kampung Baru dilaporkan mengalami kecederaan di belakang badan, tangan dan muka.

Tidak hanya terhenti di situ, selang seminggu kemudian, seorang pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Solehah Abd. Rahman, 25, maut selepas terjatuh ke dalam gaung sedalam 60m.

Dia yang pertama kali menyertai ekspedisi itu bersama tujuh rakan lain sempena cuti umum sambutan Maulidur Rasul pada 14 Januari lalu ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri ekoran kecederaan parah yang dialami.

Salah seorang rakannya, Fakrul Nizam Tahar memberitahu, sebelum kejadian, dia menasihati Solehah supaya berpaut pada batu kerana dia bergerak di posisi yang salah.

“Sebaik sahaja Solehah cuba mengalihkan badannya, dia tiba-tiba tersilap langkah dan gagal berpaut pada batu lalu tergelincir ke dalam gaung.

“Saya sekadar melihat tetapi tidak mampu berbuat apa-apa kerana kami masing-masing terpaksa berpaut pada batu-batu kecil di bukit itu,” katanya yang berada di tepi Solehah sebelum kemalangan tersebut berlaku.

Secara kebetulan, kejadian yang menimpa Solehah merupakan kes kedua selepas pasukan bomba menyelamatkan Noor Hasmahani yang dilaporkan terjatuh di lokasi sama.

Kedua-dua pendaki wanita tersebut dikatakan terjatuh ke dalam gaung ketika cuba mendaki laluan curam sewaktu hampir sampai ke Check Point 11 setinggi 500m dari aras laut. Bukit Tabur mempunyai 14 Check Point.

Dalam kes Pee Tat pula, lokasi dia ditemui mati merupakan tempat yang sama pihak bomba menemui mayat dua doktor pakar kanak-kanak dari Hospital Ampang Puteri yang maut akibat terjatuh ketika mendaki bukit itu pada tahun 2009.

Ini merupakan sebahagian daripada insiden maut jatuh gaung di Bukit Tabur yang mendapat liputan meluas daripada media.

Belum lagi dikira kes-kes lain seperti pendaki hilang dan sesat di bukit yang terletak di dalam Hutan Simpan Hulu Gombak Tambahan Satu itu.

Ketua Bahagian Operasi Pasukan Khas Jabatan Bomba dan Penyelamat, Penolong Penguasa [email protected] Musa berkata, laluan trek di bukit yang juga dikenali sebagai Bukit Hangus dalam kalangan penduduk tempatan itu curam dan berbahaya.

GAMBAR yang dimuat naik Solehah di Facebook miliknya pada pukul 9.28 pagi iaitu kira-kira sejam sebelum dia terjatuh, 14 Januari lalu.


Keselamatan

“Kontur bukit itu memang menjunam dan tidak selamat. Pendaki perlu memegang batu-batu kecil dan melepasi pokok-pokok renek ketika mendaki,” katanya.

Kesukaran laluan darat di bukit tersebut menyebabkan pasukan bomba terpaksa menggunakan bantuan helikopter dalam operasi menyelamat mangsa.

Setiausaha Persatuan Kembara Negara, Mohd. Rafi Kori berkata, aspek keselamatan di Bukit Tabur perlu dipandang serius bagi mengelakkan kejadian seumpama itu berulang pada masa hadapan.

Sehubungan itu, beliau menggesa pihak bertanggungjawab supaya meningkatkan tahap keselamatan di lokasi yang menjadi tarikan pengunjung baik dari dalam mahupun luar negara tersebut.

“Sudah terlalu banyak kes kematian yang dilaporkan di situ.

“Justeru, kerajaan perlu bertindak segera dengan menempatkan Bukit Tabur di bawah penyeliaan serta pengawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) agar aspek keselamatan dapat ditambah baik bagi menjamin kesejahteraan pengunjung,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Rafi turut menasihati para pendaki agar sentiasa mengikut standard prosedur operasi yang ditetapkan bagi menjamin keselamatan sebelum dan semasa aktiviti pendakian berlangsung.

Beliau memberitahu, sebelum memulakan ekspedisi, pihak penganjur wajib melaporkan aktiviti mereka terlebih dulu kepada pihak berkuasa.

Katanya, laporan itu penting bagi membolehkan pihak polis bertindak lebih cepat jika berlaku sesuatu kejadian yang tidak diingini.

“Pendaki perlu ditemani jurupandu yang berpengalaman, mahir serta arif dengan selok-belok jalan di kawasan yang ingin dikunjungi.

“Selain itu, pendaki juga harus mengenakan pakaian dan topi keselamatan di samping menggunakan tali serta abah-abah yang berfungsi sebagai sokongan kepada tubuh.

“Pemakaian alat-alat tersebut secara tidak langsung dapat meminimumkan impak kecederaan sekiranya terjatuh,” jelasnya.