Lelaki terkotor cari isteri


ADA yang menyangka lelaki ini sebuah patung batu disebabkan warna kulit dan badannya yang menyamai warna tanah.


DIA solo dan sedang mencari cinta tetapi untuk memenangi hatinya, anda perlu menerima gaya hidupnya yang pelik.

Amou Haji, 80, yang tinggal di sebuah kawasan terpencil di Kampung Dejgah di wilayah Fars, selatan Iran tidak pernah mandi selama 60 tahun.

Dia mengatasi rekod terakhir manusia paling lama tidak mandi milik lelaki India berusia 66 tahun, Kailash Singh, yang tidak mandi selama lebih 38 tahun.

Tidak memeranjatkan apabila mendapati cara hidup peliknya itu disebabkan dia pernah melalui peristiwa pahit semasa mudanya dan selepas itu memutuskan untuk memencilkan diri.

Dia juga pernah melarikan diri daripada seorang lelaki muda yang menawarkan untuk memandikannya kerana dia percaya kebersihan akan membawa penyakit kepadanya.

Dia membuktikan pendiriannya itu betul kerana masih sihat walaupun sudah tua.

Bakar rambut

Dia juga tidak suka badannya terkena air, malahan jika disuruh mandi, Amou akan marah.

Kini, badannya dipenuhi tanah hinggakan warna kulitnya seakan-akan warna tanah. Ini menyebabkan ada yang menyangka dia sebuah patung batu sekiranya berdiri tegak tidak bergerak.


AMOU percaya kebersihan akan membawa penyakit kepadanya.


Bukan sahaja tidak gemar mandi, dia juga tidak makan makanan yang elok dan segar malahan tidak minum air bersih.

Makanan kegemaran Amou ialah daging landak busuk yang ditemuinya di tempat pembuangan sampah.

Malah, dia dengan selamba menghisap paip yang diisi dengan najis haiwan, bukannya tembakau.

Dia juga bertindak memakai topi keledar perang bukan untuk menentang musuh di medan pertempuran sebaliknya bagi melindungi diri daripada musim sejuk.

Amou mempunyai beberapa tempat tinggal iaitu lubang di dalam tanah yang menyerupai kubu pertahanannya selain pondok yang dibina oleh penduduk yang kasihankan keadaannya.

Dia menggunakan cermin kecil untuk memeriksa dirinya, tetapi pilihannya tentulah cermin sisi kereta.

Berbumbungkan langit yang berbintang, pondok kecilnya disiapkan tanpa perlu bimbang tentang ansuran bulanan. Bantal dan selimut ialah 'kusyen lembut' bumi yang memeluknya setiap masa.

Malah, dia melalui hari-harinya tanpa perlu bimbang akan bil gas dan elektrik yang menunggu untuk dibayar.

Dia juga tidak takut dirompak pada malam hari kerana dia tidak pernah berharta.

Dia hanya sibuk melakukan aktiviti hariannya iaitu minum 5 liter air sehari menggunakan tin minyak yang sudah berkarat berbanding gelas kristal mewah.

Ketika rambutnya mulai panjang, dia tidak memotongnya menggunakan gunting sebaliknya bertindak membakarnya menggunakan api.

Meski hidupnya kotor, Amou dikenali sebagai orang baik. Nama 'Amou' itu sendiri merujuk kepada panggilan untuk orang tua yang baik terutama dalam kalangan kanak-kanak.