Terapi biola untuk anak jalanan


MICHIELETTO berkongsi bakatnya bersama kanak-kanak kurang bernasib baik di Jakarta, Indonesia.


DEWAN konsert kecil di Tebing Barat, Palestin, penempatan setinggan di India dan kawasan daif di Indonesia diubah menjadi sebuah kelas muzik penuh keceriaan. Isi dewannya dipenuhi hadirin yang terdiri daripada kanak-kanak jalanan yang kurang bernasib baik.

Inisiatif itu disempurnakan seorang pemain biola dari Itali, Sara Michieletto yang telah menjayakan persembahan bersama kumpulan orkestra ternama Eropah sepanjang kegemilangan kariernya. Malah sejak tahun 1998, dia telah terlibat dalam orkestra biola di rumah opera Fenice di Venice.

Namun, sejak kebelakangan ini, wanita berusia 41 tahun itu kerap berkongsi bakatnya bersama kanak-kanak kurang bernasib baik.

Menurut Michieletto, menerusi muziknya, dia dapat membantu menyalurkan amarah dan kecewa yang dialami majoriti kanak-kanak tersebut ke dalam gelombang yang lebih positif. Muzik klasik yang menenangkan mampu menangani trauma dalam sedar kelompok bernasib malang itu.

"Kanak-kanak yang kurang bernasib baik sangat memerlukan sokongan bagi mengatasi trauma yang tercetus daripada kenangan masa lalu.

"Justeru, muzik adalah instrumen yang hebat bagi menterjemahkan emosi mereka," ujar Michieletto.

Bermula tahun 2010, pemain biola itu mencurahkan bakti kepada kanak-kanak jalanan di sekitar Jakarta, sebuah metropolis yang didiami 10 juta orang dengan kebanyakan penduduknya dilanda kemiskinan.

Kehadiran Michieletto bersama biola yang disandang pada bahu di sebuah pusat bantuan kanak-kanak jalanan di pinggir Jakarta disambut dengan teriak gembira penghuni pusat tersebut.

Sekumpulan kecil remaja tampak terpesona asyik tatkala mendengar gesekan biola Michieletto yang memainkan konserto daripada Antonio Vivaldi, The Four Seasons.

Selain melakukan persembahan kepada kanak-kanak tersebut, dia turut menganjurkan bengkel drama, nyanyian, fotografi dan tarian.


MICHIELETTO mencurahkan bakti kepada kanak-kanak gelandangan di Jakarta sejak tahun 2010.


Ketenangan baharu

Salah seorang remaja yang menyertai bengkel itu ialah Suharti, gadis berusia 14 tahun yang banyak menghabiskan masa di jalanan, bermain muzik dari gerabak ke gerabak kereta api dan bas-bas awam.

Suharti bersama adik lelaki dan perempuannya yang diselamatkan kini ditempatkan di Pusat Kampus Diakonia Modern, sebuah kuarters penempatan yang juga bertindak sebagai sekolah kepada kanak-kanak terbiar.

"Segalanya amat tidak menyenangkan ketika anda hidup sebagai gelandangan. Saya selalu berasa malu ketika bermain muzik di jalanan," luah Suharti.

Namun kini dia menerima ketenangan baharu dan merasakan muzik Michieletto sebagai terapi efektif yang banyak membantu dirinya dan kanak-kanak lain.

"Kami sering bergaduh sesama sendiri di dalam kelas tetapi sejak cikgu Sara ke sini, kami lebih tenang dan bersemangat untuk belajar," tambahnya.

Penyembuhan rohani

Sotar Sinaga yang bertanggungjawab mewujudkan program muzik di pusat tersebut berkata, muzik banyak menyumbang kepada penyembuhan rohani Suharti.

"Cara dia mengekspresikan emosinya kini lebih baik. Dia tidak lagi berkelakuan nakal terhadap rakan-rakannya," dedah Sinaga.

Michieletto mula melakukan persembahan biola kepada kanak-kanak kurang bernasib baik pada tahun 2004 ketika dia melakukan lawatan sekolah ke sekolah di sekitar Tebing Barat untuk beberapa minggu. Dalam tempoh 10 tahun, dia telah menghiburkan ribuan kanak-kanak di seluruh dunia.

Di bawah perjanjian khas bersama Yayasan Fenice, dia mampu melaksanakan kerja kebajikannya dan terus bermain bersama orkestra rumah opera untuk jangka pendek setiap tahun.

Walaupun menghiburkan kanak-kanak bernasib malang sangat berbeza dengan persembahan berkelas antarabangsa di dewan-dewan ternama, Michieletto memberitahu, ia jauh lebih memuaskan.

"Apabila saya menggesek biola untuk kanak-kanak ini, saya tetapkan dalam diri bahawa ia merupakan konsert paling penting," jujur pengakuan Michieletto. - AFP