Rusuhan di Ukraine semakin tidak terkawal

BEBERAPA orang penunjuk perasaan melemparkan bom petrol ke arah anggota-anggota polis di Kiev kelmarin.


KIEV - Rusia semalam memberi amaran tunjuk perasaan di Ukraine semakin berada di luar kawalan pihak berkuasa selepas pertempuran antara penunjuk perasaan yang pro-Kesatuan Eropah (EU) bertempur dengan anggota-anggota keselamatan di sini kelmarin.

Pertempuran di Kiev semakin memuncak apabila lebih 10,000 penunjuk perasaan melemparkan bunga api, bom petrol dan batu ke arah polis antirusuhan.

Pasukan polis kemudian melakukan serangan balas dengan melepaskan tembakan peluru getah dan gas pemedih mata.

Kekacauan itu menjadikan beberapa kawasan di Kiev umpama medan perang apabila banyak kenderaan dibakar dan penunjuk perasaan berkeliaran sambil membawa kayu dan besi.

Suasana pada waktu malam juga diterangi cahaya bunga api yang ditembak penunjuk perasaan ke arah pihak berkuasa manakala beberapa penunjuk perasaan turut cedera apabila pakaian mereka terbakar.

Konflik itu yang menyebabkan beratus-ratus orang cedera menyebabkan situasi di negara ini semakin kecoh yang berpunca selepas kerajaan pimpinan Presiden Viktor Yanukovych meminggirkan satu perjanjian untuk menjalinkan hubungan lebih erat dengan EU.

Menteri Luar Rusia, Sergei Lavrov berkata, beberapa gesaan pemimpin pembangkang Ukraine yang meminta kekacauan dihentikan tidak dihiraukan para penunjuk perasaan sekali gus menjadikan situasi di negara ini semakin tidak terkawal.

"Keganasan itu sangat menakutkan dan bercanggah dengan norma-norma yang diterapkan di negara-negara Eropah,'' katanya. - AFP