Dulu perkampungan nelayan, kini bandar raya


TIDAK sah percutian ke Hong Kong sekiranya tidak mejejakkan kaki ke taman tema Disneyland.


BULAN Disember lalu membuka sejarah baharu dalam hidup penulis apabila berpeluang menjejakkan kaki ke kota tumpuan ekonomi dunia, Hong Kong dan Shenzhen, China.

Seawal pukul 9 pagi, penulis dan ahli rombongan seramai 12 orang dewasa dan empat kanak-kanak berkumpul di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang bagi menaiki penerbangan secara transit ke Jakarta, Indonesia sebelum menaiki penerbangan seterusnya ke Hong Kong.

Kepenatan menempuh perjalanan selama empat jam dari Jakarta ke Hong Kong seakan-akan hilang sebaik menjejakkan kaki ke pulau tersebut. Malah, kedinginan cuaca tempatan serendah 10 darjah Celsius juga tidak menghalang penulis untuk meneruskan perjalanan ke Shenzhen.

Bagi yang ingin melawat ke Shenzhen dari Hong Kong, visa pelawat diperlukan, begitu juga untuk ke Hong Kong. Sejurus melepasi prosedur pemeriksaan kastam Hong Kong, kami disambut oleh pemandu pelancong yang diuruskan oleh ejen pelancongan Crystal Travel Planners Sdn. Bhd. dan dibawa terus ke hotel.

Shenzhen, yang bersebelahan Hong Kong, terletak di wilayah Guangdong, selatan China merupakan destinasi popular untuk pelancongan dan perniagaan.

Melihat kepesatan bandar raya berkenaan yang dipenuhi bangunan pencakar langit seperti Menara Shun Hing (bangunan kesembilan tertinggi dunia), mungkin ramai tidak percaya bahawa kira-kira tiga dekad lalu, Shenzhen hanyalah sebuah perkampungan nelayan.


RESTORAN Jumbo merupakan salah satu restoran terapung terbesar di dunia yang boleh memuatkan 2,300 orang pada satu-satu masa.


Rekaan futuristik

Rekaan futuristik bangunan pencakar langit menarik perhatian penulis dan ahli rombongan sepanjang perjalanan menuju ke tempat penginapan, Shanshui Trends Hotel. Hotel itu terletak di Jalan Yanhe berhampiran Stesen Keretapi Shenzhen dan hab komersial Daerah Luohu.

Tidak sah berkunjung ke Shenzhen jika tidak mengunjungi beberapa lokasi pelancongan menarik di bandar raya itu seperti Splendid China Folk Culture Village dan Window of the World.

Splendid China Folk Culture Village ini terdiri daripada dua bahagian iaitu sebuah taman kecil yang menempatkan lokasi-lokasi menarik di sekitar China seperti Forbidden City, Terracotta Soldiers, Tibet Potala Palace, Huangshan Mountains, Yunnan’s Stone Forest dan Tembok Besar China.

Bahagian kedua pula terdiri daripada 56 buah replika rumah etnik di China seperti Miao, Yi, Bai, Mongol dan Uygur. Pengunjung berpeluang melihat sendiri budaya, fesyen dan bahasa setiap etnik tersebut melalui pertunjukan kebudayaan yang diadakan pada setiap hari.

Taman ini berkeluasan 300,000 meter persegi dan dalam masa tidak sampai satu hari, penulis berjaya meneroka keindahan alam semula jadi serta kebudayaan masyarakat China di taman ini.

Pada hari keempat, penulis dan ahli rombongan dibawa ke Window of the World yang mempunyai landskap semula jadi yang indah seluas 480,000 meter persegi dan disinari cahaya lampu pada waktu malam.

Di taman ini, penulis turut tidak melepaskan peluang merakam pelbagai gambar yang berlatarbelakangkan beberapa lokasi terpenting di dunia seperti Menara Eiffel, piramid, Menara Pisa, Air terjun Niagara dan Taj Mahal.


BANGUNAN pencakar langit menghiasi di keseluruhan kawasan Hong Kong tetapi ia lebih tertumpu di Semenanjung Kowloon dan di pantai utara Hong Kong.


Pengunjung boleh memilih sama ada untuk menerokai keindahan taman tersebut dengan berjalan kaki atau menaiki trem. Penulis memilih bersiar-siar di taman tersebut dengan menaiki trem bagi menjimatkan masa.

Tawar-menawar

Sepanjang berada di sana, penulis sempat bertentang mata bersama pelakon, Rebecca Nur Al-Islam yang turut berkunjung ke lokasi itu bersama keluarganya.

Bagi yang menggemari aktiviti membeli-belah, Luohu Commercial City dan Dong Men Pedestrian Street menjadi pilihan yang menawarkan pelbagai produk fabrik, elektronik, cenderamata dan sebagainya.

Sedari awal lagi, pemandu pelancong mengingatkan kami supaya tawar-menawar sebanyak 50 peratus kerana kebanyakan peniaga di situ tidak meletakkan tanda harga pada barangan mereka.

Biarpun adakalanya, ia nampak seperti sebuah pertengkaran kecil, namun jangan bimbang kerana tawar-menawar sudah menjadi kelaziman peniaga di kawasan itu.

Peluang bermalam dan menikmati keindahan bandar raya Shenzen selama tiga hari sememangnya mencatatkan pengalaman manis dalam diri penulis.

Selepas itu, Hong Kong menjadi destinasi terakhir percutian kali ini. Sejurus menjejakkan kaki ke bandar raya itu, kami dibawa melawat kilang barangan kemas selain diberi penerangan mengenai keistimewaan emas yang terdapat di sana.

Seterusnya, kami melawat Victoria Peak untuk menyaksikan keindahan seluruh bandar Hong Kong dari puncak bukit tersebut. Memang indah dan nyaman suasana di puncak bukit tersebut ditambah lagi dengan kedinginan cuacanya ketika itu.

Kunjungan ke menara tersebut juga meninggalkan kenangan yang manis kepada kami semua kerana turut berpeluang melawat muzium patung lilin terkenal, Madame Tussauds Hong Kong.


PENULIS berkesempatan bertemu dengan pelakon kacak, Aaron Aziz ketika mengunjungi muzium patung lilin, Madame Tussauds.


Selebriti

Ia merupakan muzium Madame Tussauds pertama yang dibuka di Asia dan menempatkan lebih daripada 100 buah replika figura awam dan selebriti terkenal antarabangsa.

Beberapa orang selebriti telah diabadikan di sana antaranya, penyanyi legenda Elvis Presley, Anita Mui, Lady Gaga, pelakon veteran Bollywood, Amitabh Bachan dan bekas Presiden Amerika Syarikat, George W. Bush.

Sesuatu yang menyeronokkan di muzium patung lilin ini ialah penulis berkesempatan bertemu pelakon kacak, Aaron Aziz yang turut berada di sana sempena percutian bersama peminat.

Kemudian kami ke taman tema Disneyland yang terbahagi kepada tiga tema iaitu Fantasyland, Adventureland dan Futureland. Kami sempat meronda dan bermain di ketiga-tiga kawasan tersebut.

Pertunjukan bunga api, cahaya dan bunyi yang mereka persembahkan hampir setengah jam sangat menakjubkan dan ia diadakan pada setiap malam.

Seharian di Disneyland kami masih sempat menyaksikan seluruh persembahan yang diadakan seperti It's a Small World, Mickey's Philharmagic 3D, The Golden Mickey, Adventure of Winnie the Pooh dan banyak lagi.

Seakan-akan mimpi menjadi kenyataan kerana sebelum ini, penulis tidak pernah terfikir dapat menjejakkan kaki ke taman tema Disneyland ini meskipun ia merupakan antara yang terkecil di dunia berbanding Disneyland lain.