Alza baharu lebih menawan


BAHAGIAN hadapan Perodua Alza turut diberi pembaharuan minimum khususnya pada bahagian bampar, gril krom dan sport rim.


PERUSAHAAN Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (Perodua) tidak pernah mengecewakan para pelanggannya malah peneraju automatif tempatan itu sentiasa mengujakan pasaran dengan sesuatu yang baru.

Bertempat di pusat membeli belah One Utama, Petaling Jaya baru-baru ini, Perodua melancarkan model dipertingkat Alza dengan menyaksikan penjimatan sehingga 7.4 peratus berbanding model terdahulu.

Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Aminar Rashid Salleh menjelaskan, pihaknya berjaya mengurangkan harga model terbaru Alza itu melalui pengurangan kos secara berterusan sejak 2012.

“Pengurangan kos secara efektif pada rangkaian bekalan bermula daripada vendor, pembuatan, perkhidmatan, pusat jualan dan pengilangan.


RUANG dalaman nampak lebih segar berbanding model sebelum ini.


“Penurunan harga ini membuktikan kami komited bagi membantu para pelanggan untuk memiliki kenderaan pada harga mampu milik khususnya MPV,” katanya.

Di sebalik penjimatan tersebut, para pengkritik automatif mendakwa Alza kali ini lebih baik terutama terhadap ciri-ciri luaran yang lebih sporty.

Model Alza dipertingkat lebih segar dengan rekaan baharu bampar hadapan dan belakang, rim sports rekaan baharu serta gril krom. Alza kali ini tidak perlu disolek sementelah ia telah sarat dengan pelbagai aksesori terkini.

Selain itu, Alza baharu itu turut direka dengan pelbagai ciri yang ditambah baik daripada segi keselamatan, sistem audio visual, hiasan dalaman menarik.

Perodua Alza baharu ini terdapat dalam tiga varian iaitu standard berharga RM52,400, edisi khas (RM56,400) dan versi advance (RM64,000).

Edisi khas dan versi advance didatangkan sekali dengan kit aksesori. Versi advance pula dilengkapi aksesori eksklusif seperti kamera undur dan paparan LCD.


SKRIN paparan tengah untuk penumpang di belakang turut dimuatkan sebagai ciri-ciri standard versi advance.


Perodua Alza yang ditawarkan dengan lima warna - perak, ungu, hitam, putih dan merah sudah menerima tempahan sejak 20 Disember lalu.

Jelas Aminar Rashid, tempahan model Alza baharu ini sudah mencecah 5,000 unit.

Sejak diperkenalkan pada tahun 2009 sebanyak 167,000 unit Alza telah berjaya dijual.