Iran matikan langkah samba di Janda Baik

DUA pemain Iran menghimpit penyerang Internacional FC, Tharlis Santos pada aksi separuh akhir kedua Piala Antarabangsa Frenz B-16 di Stadium Frenz janda Baik semalam.


SKUAD bawah 16 tahun Iran mematikan langkah samba di Janda Baik, Bentong, Pahang.

Semalam, skuad remaja Iran itu mengecewakan wakil Brazil, Internacional FC 3-1 pada aksi separuh akhir kedua Kejohanan Bola Sepak Piala Antarabangsa Frenz Bawah 16 Tahun (B-16) yang berlangsung di Stadium Frenz Janda Baik.

Rentak yang dipamerkan skuad Iran pada perlawanan tersebut cukup mempersonakan tanpa memberi ruang kepada lawan mereka untuk meloloskan diri.

Asakan mereka sejak daripada awal permainan cukup garang dan penjaga gol Internacional terpaksa bekerja keras untuk menyelamatkan gawangnya daripada dibolosi.

Begitupun, kekebalan pertahanan Internacional FC tewas juga menerusi percubaan Reza Shekari pada minit ke-21 untuk membolehkan Iran mendahului 1-0.

Namun kegembiraan Iran hanya seketika apabila Internacional FC pantas memperoleh gol penyamaan menerusi jaringan Tharlis Sartori pada minit ke-42.

Selepas waktu rehat, rentak kedua-dua pasukan dilihat lebih seimbang namun, Iran lebih banyak mencipta peluang namun usaha mereka untuk menambah jaringan dinafikan kecekapan penjaga gol pasukan lawan.

Kedudukan seri 1-1 itu kekal sehingga tamat masa perlawanan sebenar sekali gus mengheret permainan ke masa tambahan.

Pada aksi tambahan itu, Iran dilihat lebih kemas dengan mencipta banyak peluang ke arah gawang lawan.

Hasilnya, mereka berjaya memperoleh gol kedua menerusi jaringan Nima Dagestani pada minit ke-105 sebelum Nima Moktari melengkapkan kemenangan 3-1 menerusi jaringannya pada minit ke-118.

dengan kemenangan tersebut, Iran melangkah bergaya ke final untuk membuat perhitungan dengan juara bertahan, Slovakia malam esok.

Kejohanan kali ini telah disertai 11 pasukan termasuk tuan rumah Frenz United Malaysia.

Nasib tidak menyebelahi pasukan tuan rumah apabila gagal mara ke separuh akhir selepas menamatkan saingan peringkat kumpulan di tempat ketiga.