Kelantan sudah tahu kelemahan Sarawak


FORKEY DOE (tengah) bakal mengetuai jentera serangan Kelantan pada aksi menentang Sarawak malam ini.


PENGENDALI The Red Warriors (TRW), Steve Darby melancarkan perang psikologi dengan mendakwa dia sudah mengetahui rahsia kekuatan skuad Bujang Senang menjelang pertemuan Liga Super antara kedua-dua pasukan di Stadium Negeri Petra Jaya, Kuching malam ini.

Darby berkata, berdasarkan persembahan pasukan berkenaan dalam saingan Piala FA Selasa lalu, dia sudah mengetahui kekuatan dan kelebihan yang ada pada skuad bimbingan Robert Alberts itu.

Menurutnya, ia memudahkan sedikit tugasnya untuk menyediakan ramuan terbaik buat TRW untuk menghadapi pertemuan tersebut.

“Saya akui Sarawak bukanlah calang-calang pasukan dan mereka mempunyai pemain import yang berkualiti.

“Begitu juga dengan pemain tempatan yang mempunyai kelebihan tersendiri.

“Berkemungkinan besar saya akan menukar gaya permainan termasuklah mengubah beberapa posisi bagi memastikan kemenangan berpihak kepada Kelantan,” katanya ketika ditemui pemberita di Kota Bharu semalam.

Darby memberitahu, tonggak import, Mohammed Ghaddar dan Francis Forkey Doe bakal mengetuai jentera serangan TRW pada pertemuan itu nanti.

Katanya, kehadiran dua tonggak tersebut akan memperkemaskan lagi jentera serangan Kelantan pada perlawanan itu kelak.

“Kedua-dua pemain ini mempunyai kualiti tersendiri, saya harap mereka dapat menghasilkan banyak jaringan,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Darby berkata, seorang lagi tonggak importnya, Mohammad Shawky masih lagi dibelenggu kecederaan.

Katanya, pemain tersebut dijangka dapat diturunkan pada pertemuan dengan Selangor PKNS Selasa nanti.