Lembah Klang catat pengurangan jarak penglihatan yang baik

27/01/2014 11:48pm

KUALA LUMPUR - Beberapa kawasan di Lembah Klang yang mengalami keadaan udara kelihatan berjerebu petang semalam telah mencatatkan pengurangan jarak penglihatan yang baik hari ini.

Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar dalam kenyataan hari ini berkata, laporan cuaca oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) menyatakan kawasan tersebut iaitu Sepang, Petaling Jaya dan Subang mencatatkan pengurangan jarak penglihatan yang baik iaitu melebihi 10 kilometer berbanding sejauh empat kilometer hingga lapan kilometer pada 5 petang semalam.

Katanya, pengurangan jarak penglihatan yang menyebabkan ruang udara kelihatan berjerebu itu disebabkan kehadiran habuk halus atau partikel udara yang terampai dalam keadaan cuaca semasa yang kering.

"Habuk halus atau partikel udara yang terampai merupakan bahan pencemar yang dilepaskan ke atmosfera daripada pelbagai punca aktiviti manusia, antaranya pelepasan kenderaan bermotor, perindustrian, aktiviti pembangunan tanah dan pembinaan.

"Sehingga kini, tiada sebarang pembakaran terbuka yang boleh menjejaskan kualiti udara berlaku di kawasan Lembah Klang, katanya.

Menurut kenyataan itu, berdasarkan laporan METMalaysia, sejak beberapa hari lalu, pergerakan angin di kebanyakan kawasan di Semenanjung Malaysia adalah perlahan dengan halaju 10km sejam dan keadaan atmosfera adalah stabil.

"Faktor-faktor cuaca ini dan keadaan topografi kawasan Lembah Klang yang bercirikan lembah menyebabkan habuk halus atau partikel udara yang terampai terperangkap di ruang udara dan tidak dapat menyebar dengan cepat, katanya.

Katanya, METMalaysia turut melaporkan beberapa kawasan di Lembah Klang iaitu daerah Hulu Selangor, Klang, Kuala Selangor, Petaling Jaya dan Sepang masih tidak menerima hujan melebihi lima hari berturut-turut sejak 22 Jan lepas.

Katanya, bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) semalam adalah dalam keadaan baik dan sederhana di seluruh negara dan tiada kawasan yang mengalami bacaan IPU tidak sihat.

Sehubungan itu, katanya, keadaan berjerebu yang dialami pada petang semalam merupakan fenomena cuaca biasa dan tidak menjejaskan kesihatan orang awam. - Bernama