Pelabuhan Perang Dunia Kedua bakal lenyap


ANTARA sisa-sisa peninggalan pelabuhan yang masih kelihatan dari pantai Normandy, Perancis.


PEMANDANGAN selat dari pantai-pantai Normandy, Perancis, tidak banyak mengingatkan tentang pelabuhan yang dibina selepas pendaratan D-Day itu. Pelabuhan itu dibina melibatkan puluhan ribuan Tentera Bersekutu yang menyerang Jerman secara mengejut pada tahun 1944.

Kini, hanya tinggal beberapa blok konkrit besar yang merupakan hasil kejayaan kejuruteraan pihak Tentera Bersekutu itu. Pembinaan itu merupakan sokongan logistik terpenting yang membawa kemenangan Tentera Bersekutu di Normandy.

Blok-blok konkrit berkenaan merupakan sebahagian daripada sebuah pelabuhan buatan yang telah dibina bersama di pesisir laut Perancis dalam tempoh dua minggu. Ia membolehkan bekalan dan pasukan tentera sokongan untuk mendarat memandangkan ketiadaan pelabuhan yang dikawal Tentera Bersekutu pada masa itu.

Sungguhpun Perancis sedang bersiap sedia untuk menyambut ulang tahun ke-70 pendaratan perang itu, kesan sejarah di kawasan itu semakin pudar akibat dihakis air laut.

"Setiap kali ribut, ia hilang sedikit demi sedikit. Jika tiada tindakan diambil, tiada apa yang akan tinggal dalam masa 10 tahun akan datang.

"Daripada peti yang digunakan sebagai bongkah besi dan bekas simpanan barangan militari (kaison) besar yang pernah dibina, hanya beberapa sahaja dapat dilihat semasa air surut," kata Datuk Bandar Arromanches, Patrick Jardin.

Menurut jurupandu Muzium D-Day, Erick Leplanquais, sesetengah daripada 115 kaison yang juga dikenali sebagai Phoenix bersama-sama dengan bangkai kapal lama yang tenggelam telah membentuk sebuah pemecah ombak sepanjang kira-kira lapan kilometer yang menyediakan keadaan air tenang untuk pembinaan sebuah pelabuhan berkeluasan kira-kira 500 hektar atau bersamaan dengan 1,000 buah padang bola sepak.


PEMBINAAN awal pelabuhan ini dilakukan dalam tempoh yang sangat singkat.


Bekalkan tentera

Selepas 130,000 orang tentera menyeberangi Selat Inggeris dan mendarat di Normandy pada 6 Jun 1944, pihak Bersekutu sedar bahawa mereka perlu terus membekalkan tentera dengan segala keperluan dan bantuan sebagai usaha untuk menghadapi serangan balas pihak Jerman.

Bagaimanapun, mereka tidak mempunyai pelabuhan di pinggir pantai Perancis.

Bagi menyelesaikan masalah itu, mereka mengambil keputusan untuk membina sebuah pelabuhan dari England yang boleh dipasang di luar pantai Perancis.

Lebih 250 buah kapal pukat tunda telah digunakan untuk mengangkut bahagian-bahagian pelabuhan yang akhirnya membentuk sebuah pelabuhan yang dinamakan Mulberry. Kerja-kerja pemasangan bermula dua hari selepas D-Day. Menjelang 14 Jun 1944, ia mula beroperasi dan menjadi tulang belakang logistik Tentera Bersekutu.

Hampir tujuh dekad, sisa-sisa terakhir kejayaan kejuruteraan itu mula dimamah zaman.

"Secara amnya, kita kehilangan sebuah kaison setahun," kata Pengarah Muzium D-Day, Frederic Sommier sambil memaklumkan hanya terdapat kira-kira 20 buah struktur besar itu yang masih boleh dilihat pada waktu air pasang dan surut.

Namun demikian, hampir kesemua kaison yang tinggal telah retak.

Jardin mahu mencuri sedikit masa sebelum dapat mencari penyelesaian kekal untuk memulihara baki pelabuhan itu.

"Kita hanya perlu mengekalkannya untuk tempoh 20, 30 atau 40 tahun. Selepas itu, kami pasti memori itu akan disimpan dalam bentuk teknologi yang lain," katanya.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan pembinaan sebuah penghadang untuk menahan hempasan ombak terhadap struktur bersejarah itu.

"Namun demikian, usaha itu dianggarkan menelan belanja jutaan euro," kata pemimpin bandar yang dihuni kira-kira 600 orang penduduk itu.

HAKISAN menghilangkan hampir kesemua struktur pelabuhan ini.


Peristiwa D-Day

Ternyata ia melibatkan kos yang jauh lebih tinggi berbanding 4.8 juta euro (RM22 juta) yang dilaburkan oleh Monumen Pertempuran Amerika pada tahun 2010 bagi pemuliharaan Pointe du Hoc, sebuah tebing yang menghadap Selat Inggeris kira-kira 30 kilometer dari tapak pelabuhan Mulberry.

Dana tersebut digunakan untuk memperkukuhkan tebing berkenaan yang terhakis, seterusnya melewatkan kesan hakisan pada kubu dan sebuah monumen yang dibina bagi memperingati 225 anggota renjer yang telah memanjat tebing setinggi 30 meter itu pada D-Day dan merampas meriam tentera Jerman selama antara 20 hingga 30 tahun.

Datuk Bandar Arromanches menyatakan, ia akan mengambil sedikit masa sebelum satu penyelesaian yang sempurna dapat dicapai untuk kaison itu sambil mendakwa bahawa tidak ada mana-mana kementerian yang tampil untuk menangani isu tersebut.

Bagaimanapun, Presiden Majlis Serantau Lower Normandy, Laurent Beauvais yang bersikap lebih optimistik memberitahu, bahawa terdapat 'konsensus sebenar' untuk mengekalkan saki-baki pelabuhan berkenaan.

"Pelabuhan Mulberry adalah salah satu sebab penduduk setempat terus mengasak Perancis untuk mendapatkan status perlindungan warisan dunia untuk pantai Lower Normandy," katanya.

Permintaan secara rasmi telah dikemukakan kepada kerajaan Perancis pada pertengahan Disember tahun lalu dan wilayah itu berharap agar pihak kerajaan akan menghantar permohonan kepada Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) sebelum sambutan ulang tahun ke-70 pada bulan Jun ini. - AFP