Sarawak mahu akhiri rentak sumbang

SELEPAS dijinakkan Kelantan minggu lalu, skuad Bujang Senang berazam mengutip tiga mata berharga apabila melayan kunjungan pasukan Sime Darby dalam aksi Liga Super di Stadium Negeri, Kuching malam ini.

Kapten Sarawak, Joseph Kalang Tie, optimis pasukan bimbingan Robert Alberts itu mampu melakar kemenangan sekali gus mengubati kekecewaan selepas gagal mengutip sebarang mata dalam dua perlawanan sebelum ini.

Joseph mengakui, kemenangan bergaya 1-0 anak-anak buah Ismail Zakaria ke atas juara Piala Malaysia, Pahang, Sabtu lalu, memberi isyarat jelas kepada rakan-rakannya untuk memperbaiki segala kelemahan yang ada dalam pasukan.

Katanya, perlawanan malam ini dijangka sengit memandang kedua-dua pasukan bertekad mencatatkan kemenangan bagi mencari kedudukan terbaik dalam carta Liga Super.

“Perkara penting sekarang adalah misi memperoleh tiga mata penuh di laman sendiri kerana keputusan positif pasti membantu kita terus bersemangat mengharungi perlawanan berikutnya.

“Pemain perlu menyempurnakan setiap peluang yang ada. Jika kita menang dalam perlawanan ini, ia pasti memberi suntikan moral dan keyakinan membara kepada pasukan ini,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di Kuching semalam.

Mengulas persediaan pasukan, pemain sayap itu memberitahu, dia menjangkakan jurulatih kemungkinan melakukan rombakan dalam kesebelasan utama yang akan diturunkan nanti.

Bagaimanapun jelasnya, ia bergantung dengan prestasi pemain itu sendiri bagi memastikan sama ada rombakan kecil itu akan dilaksanakan atau sebaliknya.

“Kini, jurulatih amat memberi penumpuan kepada jentera serangan kerana dalam perlawanan sebelum ini posisi itu agak goyah,” katanya.

Selepas mengharungi dua perlawanan, skuad Bujang Senang kini menghuni tangga tercorot liga tanpa sebarang mata.