Makan besar di Renaissance KB

TAWARAN sajian Prosperity Chinese New Year akan disediakan sehingga hari ke-15 sambutan Tahun Baru Cina.


SAMBUTAN Tahun Baru Cina tidak akan lengkap tanpa acara tradisi makan beramai-ramai bersama keluarga mahupun rakan taulan dengan bersajikan hidangan yang bukan sahaja enak dan penuh cita rasa etnik bahkan memiliki simbolik kesejahteraan.

Sehubungan itu, Restoran Dynasty, Hotel Renaissance Kota Bharu, Kelantan tidak ketinggalan menawarkan sajian istimewa Prosperity Chinese New Year untuk dinikmati secara berkumpulan pada Tahun Baru Cina ini sehingga Capgome nanti.

Bagi mereka yang berada di negeri Cik Siti Wan Kembang khususnya kaum Tionghua, promosi ini tentunya sesuatu yang tidak wajar dilepaskan demi mengeratkan hubungan sesama keluarga dan rakan sambil menjamu selera dalam aroma oriental.

Pengarah Bahagian Pemasaran dan Jualan Hotel Renaissance, Fadzil Ibrahim berkata, set menu yang ditawarkan untuk 10 orang semeja itu boleh didapati pada harga RM718++, RM899++ dan RM999++ dengan menu asasnya, crispy shirauo yee sang serta kombinasi panas dan sejuk Renaissance.

Kombinasi panas dan sejuk tersebut antaranya, hidangan sotong kecil ala Jepun yang diganding bersama salad dan dumpling ayam.

Bagi set berharga RM718++, ia disajikan bersama ayam tanpa tulang dua variasi, ikan kerapu stim stail Qi Ling, udang goreng wok dan sayur-sayuran manakala set menu RM899++ disaji bersama hidangan istimewa, Prosperity Poon Choy.


HOTEL Renaissance tidak mahu ketinggalan dalam menyediakan hidangan istimewa pada Tahun Baru Cina.


“Bagi set menu berharga RM999++, antara menu yang disajikan ialah stew itik ‘Pak Poh’ tanpa tulang, ikan bawal putih yang dimasak cara Hong Kong, udang harimau bakar dengan sos soya serta kaki angsa yang ditumis dengan asparagus laut dan brokoli.

“Itik Pak Poh yang menggunakan lapan ramuan herba ini dibuang tulangnya dengan disumbat pulut dan sayur di dalamnya,”katanya kepada wartawan pada program prarasa sajian promosi di hotel tersebut baru-baru ini.

Turut hadir, Pengurus Besar, Ezudin Merican dan Chef Eksekutif, Othman Baker.

Membuat salad

Dalam promosi itu, pelanggan juga boleh membuat salad sendiri dari kaunter bufet dan menunya termasuklah sup mi Szechuan yang disajikan secara unik dengan mi dibentuk seperti pulau yang dikelilingi sup.

“Hotel ini juga akan menawarkan tiga seleksi yee sang untuk pilihan pelanggan. Selain jenis shiraou yee sang (ikan bilis segar yang digoreng garing), pengunjung boleh juga membuat pilihan yee sang yang lain seperti shishamo (ikan yang sedang bertelur) dan salmon,” katanya.

Sajian diakhiri dengan hidangan pencuci mulut dumpling bersama puri kacang merah.

Istimewa pada malam menjelang Tahun Baru Cina juga iaitu pada pukul 10 malam akan diadakan persembahan tarian singa di dewan utama hotel berkenaan.

Tidak semestinya menikmati sajian promsoi itu secara berkumpulan di dalam restoran tersebut, pihak hotel juga bersedia untuk menyediakan ruang makan di bilik-bilik mesyuarat hotel tersebut.