Sayap kelawar di cuping telinga



SEMPIT dan gelap sambil sesekali kedengaran kibasan sayap sang kelawar di cuping telinga menambah keresahan hati.

Tambahan pula sumber cahaya hanya bergantung kepada sinaran matahari yang sesekali menerobos dari celahan dinding gua yang berusia ribuan tahun ini.

Pergerakan juga terbatas kerana pengunjung terpaksa berbaring di atas pelampung sejauh 200 meter semasa menempuh laluan sungai yang terdapat di dalam Gua Merapoh.

Mujur topi keselamatan yang dipakai lengkap dengan lampu hadapan dan berjaya melegakan tekanan apatah lagi selepas menyaksikan keindahan permukaan batu gua berkenaan yang berkilau bagaikan bintang di langit.

Demikian gejolak adrenalin yang akan dilalui peserta yang melakukan aktiviti cave tubing selama 30 minit di Gua Merapoh.

Seorang pengunjung, Akira Baharuddin, 21, berkata tekanan yang dirasai sepanjang 30 minit menyusuri gua berkenaan tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.

Bagaimanapun katanya, saat tiba di lokasi yang dituju dan menyaksikan sendiri keunikan garis-garis pada dinding gua yang diselang-seli dengan batu bergemerlapan dapat mengubat seketika perasaan gemuruh sepanjang menyusuri air di gua itu.

“Kami diberikan latihan ringkas untuk membiasakan suhu tubuh dengan keadaan air gua. Air di gua ini juga kelihatan seperti bertakung dan tidak berarus.

“Selepas beberapa minit bermain dengan air, bermulalah perjalanan kami menyusuri air dengan melalui setiap ruang di dalam gua,” ceritanya ketika ditemui Kosmo!.

Akira menambah, cabaran utama cave tubing terletak pada ketahanan psikologi berbanding cabaran fizikal.


KEUNIKAN lapisan permukaan dinding yang terbentuk secara semula jadi di Gua Tahi Bintang menarik perhatian pengunjung.


Diapit

“Tubuh kita bagaikan diapit di antara dinding gua dan permukaan air. Kalau ikutkan hati mahu sahaja saya menjerit. Tetapi jika anda berbaring dan kendurkan otot perasaan itu hilang serta-merta.

“Apatah lagi ketika anda membuka mata dan menyalakan lampu hadapan di topi keselamatan, anda pasti terpukau dengan ukiran dinding gua yang cantik,” jelasnya.

Aktiviti cave tubing sangat sesuai bagi mereka yang ingin melihat keunikan dinding gua dengan cara yang berbeza dan mencabar.

Dalam satu masa hanya lima orang dibenarkan mengikuti aktiviti itu. Alatan yang diperlukan adalah pelampung dan jaket keselamatan.

Namun, pengunjung perlu bersedia untuk basah sepanjang aktiviti itu dilakukan.

Bagi pengunjung yang tidak gemarkan aktiviti air, terdapat juga pilihan meneroka keindahan gua melalui ekspedisi berjalan kaki.

Antara gua yang sering menjadi pilihan dan buah mulut masyarakat tempatan ialah Gua 1001 Cerita yang terletak kira-kira 50 meter dari lokasi cave tubing.

Mengapa ia memegang gelaran Gua 1001 Cerita sering menjadi tanda tanya dalam kalangan pelancong yang berkunjung ke sini.

Permukaan batu dan tanah yang sedikit lembap serta licin menyukarkan lagi pergerakan peserta. Walaupun tidak mengenali antara satu sama lain, ukhuwah jelas terjalin dalam kalangan peserta sepanjang usaha menawan Gua 1001 Cerita.

Selepas berhempas-pulas hampir setengah jam melalui kawasan hutan renek yang basah dan ‘berperang’ dengan pacat serta lintah, permukaan dinding gua yang dipenuhi lakaran purba menyambut kedatangan pengunjung.

Ketika tiba di pintu masuk gua berkenaan, Gua 1001 Cerita tiada bezanya berbanding gua-gua yang lain. Seperti lazimnya, air menitik ke atas lantai bergema di dalam gua.


CORAK permukaan lantai dan dinding Gua Tahi Bintang terhasil daripada hakisan air sejak 400 tahun lalu.


Tetapi keunikan dan tarikan gua berkenaan terletak pada lakaran purba di dinding gua yang dipercayai berusia lebih 100 tahun.

Kepelbagaian lakaran dan karakter pada permukaan dinding gua sekali gus menjawab persoalan dalam kalangan pengunjung mengapa gua itu menerima jolokan Gua 1001 Cerita.

Ketika majoriti pengunjung leka merakamkan gambar dan foto lakaran di dinding gua, seorang pengunjung khusyuk menyentuh dan meraba setiap lakaran yang ada.

Jelas riak pada wajahnya mengekspresikan pelbagai persoalan, kadangkala mengerutkan dahi, kemudian termenung jauh sebelum duduk dan memangku dagu.

Tara Yean, 24, memberitahu, dia seakan-akan tergamam saat menyaksikan lakaran pada dinding gua tersebut.

Katanya, jika benar ia dilukis oleh orang asli kuno seperti yang didakwa masyarakat tempatan di sini, ia penemuan yang sangat berharga dan perlu dipelihara.

Muzium

“Inilah pertama kali dalam hidup saya menyaksikan lakaran yang berusia hampir seabad dengan mata saya sendiri. Malah, saya boleh sentuh dan membeleknya sepuas-puasnya.

“Pada kebiasaannya lakaran purba seperti ini hanya wujud atau dilukis semula dalam bentuk arkib di muzium. Perasaan sangat berbeza apabila berpeluang menyaksikan lukisan purba ini secara langsung,” katanya.

Ujarnya lagi, dia turut tergamam apabila menyaksikan setiap lukisan itu mempunyai gambaran masa hadapan seperti usaha untuk menerbangkan manusia.

“Mungkin kita mempunyai satu perasaan kononnya kitalah generasi yang penuh dengan idea dan impian yang menggunung tinggi.

“Tetapi lakaran di sini menjadi bukti bahawa manusia sebelum kita terlebih dahulu memikirkan pelbagai kaedah termasuk menerbangkan manusia,” katanya sambil membelek lakaran seperti manusia diikatkan pada sebuah layang-layang besar.

Selain Gua 1001 Cerita, Gua Tahi Bintang turut mempunyai keunikannya kerana dinding gua tersebut dipenuhi dengan ukiran semula jadi hasil hakisan air.

Ia digelar Gua Tahi Bintang kerana hakisan dan ukiran pada gua terbentuk bagaikan tahi bintang yang sedang jatuh.

PESERTA harus meredah kawasan hutan sebelum melangkah masuk ke Gua Merapoh.


Gua Tahi Bintang juga adalah gua yang paling mudah untuk dilawati dan menyimpan pelbagai fosil yang juga melambangkan usia gua berkenaan.

Walaupun gua tersebut paling mudah untuk dilawati, setiap batu gua yang memerlukan tempoh 10 juta tahun membentuk satu lapisan boleh mati sekiranya disentuh.

Gua berkenaan yang berusia hampir 400 juta tahun dipercayai pernah ditenggelami laut berdasarkan beberapa fosil cengkerang dan batu karang yang tertanam di dalam dindingnya.

Peserta ekspedisi, Yuslinda Fozi, 31, berkata, gua-gua yang terdapat di Merapoh perlu dipertahankan.

‘Kita terlalu mudah untuk tidak menghargai kelebihan alam semula jadi yang berada di sekeliling kita berbanding di negara luar. Apabila ia semakin pupus dan mula terancam baru kita hendak ambil tindakan.

“Pada saya sekiranya langkah lewat diambil untuk memulihara gua ini, tiada gunanya ia dipertahankan lagi,” katanya.