Khemah jadi hospital rawat mangsa taufan


SEORANG doktor (kiri) bersama pembantu perubatan dari Norway melakukan persediaan untuk merawat pesakit.


Bencana Taufan Haiyan yang melanda Filipina dan mengorbankan ribuan nyawa pada November tahun lalu telah memberi sinar baharu buat seorang remaja mangsa kemalangan, Mario Renos untuk berjalan semula.

Dilanggar motosikal dalam perjalanan ke sekolah sebulan sebelum taufan tersebut melanda kawasan tengah kepulauan itu, kaki pelajar yang berusia 13 tahun itu sudah mampu untuk berpijak dan melangkah setapak demi setapak selepas menjalani rawatan pemulihan di hospital khemah Palang Merah di bandar Basey.

"Saya mahu kembali ke sekolah," tutur Mario sambil mengetap giginya ketika berlatih memegang pagar logam yang diperbuat daripada batang pokok kelapa yang tumbang dengan kedua-dua tangannya.

"Tiada sebab kenapa Mario tidak boleh berjalan kembali," kata seorang jururawat dari Norway, Janecke Dyvi yang merawat remaja itu.

Dikendalikan oleh doktor dan jururawat dari 10 negara-negara Eropah yang menawarkan perkhidmatan secara percuma, hospital bernilai AS$1.6 juta (RM5.3 juta) itu telah memenuhi keperluan untuk masyarakat di Pulau Samar iaitu salah satu kawasan termiskin di negara tersebut.

Mangsa-mangsa yang terselamat daripada angin dan gelombang gergasi di kawasan kejiranan Basey pada 8 November itu, kini tertarik dengan pelbagai kelengkapan perubatan yang terdapat di sana. Malah, penduduk tempatan menggelarnya sebagai Hospital Norway.

Pendingin hawa

Bantuan itu bukan sahaja memberi manfaat kepada mangsa taufan malah penduduk yang mengalami sebarang kecederaan juga boleh berkunjung ke situ untuk mendapatkan rawatan.

Beroperasi di bahagian bawah gimnasium majlis perbandaran yang telah musnah, hospital yang terdiri daripada enam buah khemah dilengkapi pendingin hawa itu menawarkan pelbagai rawatan.

Antaranya seperti gigitan lipan, sumbing, kemalangan jalan raya, strok, kebakaran dan penyakit lain yang tiada kaitan dengan Taufan Haiyan.

Menurut pentadbir dari Norway, Kjell Engkrog, seorang penduduk berjaya melahirkan anak pertama melalui kaedah pembedahan di hospital itu.

Haiyan merupakan bencana alam paling dahsyat berlaku di negara itu. Seramai 8,000 orang terkorban dan tidak ditemui manakala 4.4 juta yang lain pula hilang tempat tinggal. Taufan itu turut merosakkan hospital di puncak bukit Basey.


HOSPITAL khemah Palang Merah amat mementingkan keselesaan para pesakit sewaktu menerima rawatan.


Menurut Engkrog, hospital sementara itu merupakan salah satu langkah sama seperti yang dijalankan oleh Palang Merah di kawasan konflik di seluruh dunia. Namun, langkah tersebut merupakan kali pertama dilaksanakan di Filipina.

Ia merupakan sebahagian daripada sumbangan agensi bantuan kemanusiaan antarabangsa yang membantu memenuhi keperluan segera untuk mangsa seperti makanan dan tempat tinggal mereka.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan organisasi bantuan antarabangsa juga terlibat dalam usaha membantu mangsa-mangsa di zon bencana yang meliputi kawasan seluas negara Portugal itu.

Menurut Dyvi, sebelum Taufan Haiyan melanda, Mario yang dilanggar motosikal pada bulan Mac tahun lalu tidak mempunyai sebarang akses untuk bertemu ahli fisioterapi. Akibat terlantar di rumah, kakinya menjadi semakin lemah sehingga terpaksa berhenti sekolah ketika berada di gred lima.

"Mungkin mereka tidak mempunyai wang untuk membayar rawatan," ujarnya.

Setiausaha Pembantu Kesihatan Filipina, Eric Tayag memberitahu, kerajaan mengakui bahawa wujud masalah berkaitan ketiadaan akses perkhidmatan kesihatan di kawasan itu.

Jelasnya, hospital daerah akan dibina semula pada tahun ini tetapi pihak berkuasa masih belum mempunyai tarikh tetap mengenainya.

"Sementara pembinaan semula sedang dijalankan, kemudahan asas amat penting supaya perkhidmatan asas kesihatan dapat diberikan," katanya.

Geran tunai

Jurucakap kontinjen Palang Merah di zon bencana, Atishay Abbhi memberitahu, hampir 4,000 pesakit telah menerima rawatan di hospital Palang Merah sejak penghujung November lalu.

Tambahnya, agensi bantuan juga telah membina empat loji rawatan air di seluruh Samar iaitu sebuah kawasan majoriti yang dihuni oleh masyarakat petani tanaman kelapa dan nelayan.

Bermula awal tahun ini, Palang Merah akan menyediakan peralatan seperti bot dan mata kail kepada nelayan serta benih untuk petani sebagai dana tunai untuk skim pekerja buruh bagi pelarian.

Geran tunai juga akan diwujudkan bagi membantu mendapatkan kembali perniagaan kecil milik mereka.

Menurut Engkrog, seramai 60 kakitangan tempatan kini sedang dilatih untuk mengambil alih hospital itu apabila kakitangan dari Eropah pulang ke negara asal mereka.

"Palang Merah telah menutup 100 buah katil di khemah hospital itu untuk diletakkan di Ormoc iaitu bandar berdekatan dengan Pulau Leytem," ujarnya. - AFP