Bifa's Collezion buka jalan vendor


RINA memastikan setiap vendor membawa rekaan produk yang berlainan untuk mewujudkan kepelbagaian di butiknya.


PEMANDANGAN dari luar kaca lutsinar sebuah butik di The Trillium Lakefields, Sungai Besi, Kuala Lumpur sudah menampakkan keunikan pelbagai rekaan baju dan seluar berwarna-warni di patung peragaannya.

Malah, bukan sekadar menjual pakaian, seluar dan tudung, tetapi butik Bifa’s Collezion ini juga menawarkan aksesori pelengkap gaya seperti kasut, cermin mata hitam, gelang, beg tangan serta pelbagai hiasan diri yang mempesonakan.

Sebelum ini, Bifa’s Collezion memulakan perniagaan pakaian menerusi laman sosial Facebook, Instagram dan blog pada tahun 2010 dengan menyediakan lebih 200 rekaan pakaian muslimah, santai serta kasual.

Bagaimanapun, dengan sokongan suami tercinta, pemiliknya, Rinawati Rezmi, 26, bertekad melebarkan sayap perniagaannya dengan membuka sebuah butik pada Februari tahun lalu.

Cuma, apa yang membezakan butik ini berbanding kedai pakaian tempatan lain adalah ia menyajikan puluhan seleksi produk menarik daripada 20 vendor jenama tempatan di bawah satu bumbung sama.

Pengusaha muda yang lebih mesra dengan panggilan Rina ini berkata, selain mewujudkan kepelbagaian rekaan, dia ingin membantu pengusaha-pengusaha baharu memperkenalkan jenama masing-masing.

RINA menggayakan persalinan jenama Rinazara yang dikhususkan untuk ibu hamil.


Variasi rekaan

“Saya mempunyai lima koleksi baju rekaan sendiri di bawah jenama Rinazara, namun pilihan ini terlalu terhad. Jadi saya berpendapat berkongsi ruang niaga dengan pereka-pereka baharu adalah sesuatu yang sangat wajar dalam menyediakan variasi rekaan di butik ini.

“Selain itu, ia juga bagi memberi ruang kepada pereka-pereka muda memperkenalkan jenama mereka dan dapat menyalurkan produk kepada pelanggan dengan lebih dekat,” jelasnya yang baru melahirkan anak sulungnya pada 15 Januari lalu.

Antara jenama-jenama yang terlibat di butik Bifa’s Collezion ialah Phewwsion, Milyy, The Yellows, Inner Shoppe, Dress2Empress, House Of Rin, Sweety Beauty Shoppe, Pretzel Pn Is, The Pappers, Shinings Shop, AynaKL, Mini Stylista dan Zeline Shop.

Tambahnya, dia sebelum ini turut berhadapan dengan beberapa masalah berkaitan dengan saiz, warna dan kualiti yang tidak memenuhi cita rasa pelanggan menerusi jualan dalam talian.

Justeru, anak jati Kuala Lumpur ini berharap pembukaan butik tersebut dapat memberikan kepuasan dan membina keyakinan pelanggan terhadap jenama Bifa’s Collezion.

Bagi pengasas jenama Mini Stylista, Nor Diyana Abd. Aziz, 28, dia memilih butik Bifa’s Collezion sebagai tapak permulaan perniagaannya kerana percaya dengan kredibiliti syarikat enterprise berkenaan.

“Saya sebenarnya salah seorang daripada peminat koleksi Bifa’s Collezion dan menjadikan laman Facebook menjual pakaian itu sebagai panduan dalam memilih rekaan baju terkini daripada pembekal Mini Stylista.


BARANGAN aksesori seperti kaca mata ini dijual pada harga serendah RM15.


“Namun, saya serta rakan kongsi, Nurul Hamizah Ahmad Tarmizi, 28, hanya menjual pakaian di Instagram dan apabila mengetahui butik berkenaan menawarkan ruang menjual produk, tanpa teragak-agak kami memohon untuk berkongsi kawasan,” katanya yang telah meletakkan enam jenis koleksi dress dan baju di butik tersebut bermula Sabtu lalu.

Ikat kontrak

Mengulas lanjut tentang bayaran dikenakan, Rina memberitahu, dia mengenakan caj mengikut ruang yang diminta oleh vendor.

“Mereka akan mengikat kontrak permulaan selama tiga bulan dan bayaran bermula RM150 sehingga RM300 dicaj mengikut kepada keluasan ruang yang diambil untuk pameran produk mereka.

“Selain berkongsi ruang di butik ini, produk-produk mereka juga akan turut dikemas kini di laman dalam talian Bifa’s Collezion,” jelasnya.

Pemilik jenama Shinings Shop yang menyediakan koleksi kasut, Salina Norlan, 25, pula mengakui, perniagaan dalam taliannya menjadi semakin baik selepas meletakkan produk di Bifa’s Collezion.

“Memandangkan produk saya adalah kasut, jadi pelanggan selalu berasa bimbang sama ada saiz kasut tidak muat atau terlalu besar untuk kaki mereka.

“Tetapi, selepas meletakkan 10 jenis rekaan kasut di butik berkenaan, pelanggan saya lebih berpuas hati kerana selain puas membelek gambar di Instagram, mereka boleh mencuba kasut terlebih dahulu di kedai sebelum membeli,” jelasnya yang sudah menapak di dalam dunia perniagaan dalam talian sejak tiga tahun lalu.

Padanan aksesori

Meminta pendapat daripada kaca mata seorang pengunjung, Mimi Syarene Ismail, 26, memberitahu kepelbagaian di butik tersebut memberikan idea kepada dirinya dalam memadankan pakaian dengan aksesori ditawarkan.

“Sebelum ini saya pernah membeli baju dan beg tangan daripada Bifa’s Collezion. Pembukaan butik ini yang menawarkan pelbagai pilihan membantu memberikan saya idea untuk menggandingkan terus rekaan terbaharu baju, tudung dengan aksesori bersesuaian.

“Harga barang-barang di butik ini juga berpatutan dan tidak lari daripada anggaran bermula RM30 sehingga RM200,” katanya.

Mengulas lanjut tentang jenama itu, Rina memberitahu nama Bifa diambil sempena meneruskan legasi keluarga sebelah suaminya, Faizal Bifa Fadzillah sementara collezion bermaksud koleksi dalam bahasa Itali.

Sehingga kini, laman Facebook Bifa’s Collezion menerima Like sebanyak 17,783 daripada pengunjung dengan tempahan diterima melebihi 100 pesanan setiap bulan.