Warna-warni Tahun Kuda 2014


DEKORASI arca kuda yang diperbuat daripada buluh di Publika, Solaris Dutamas menyerlahkan kreativiti pengarcanya.



ACARA makan malam besar-besaran dianjurkan oleh komuniti keluarga di Wuhan yang terletak di wilayah Hubei, China.



DIANGGARKAN 3.6 bilion penduduk dunia akan mengunjungi China sempena musim perayaan tahun ini.


KEMERIAHAN sambutan Tahun Baru Cina di seluruh dunia dapat dirasai dengan paparan kepelbagaian gambar yang dirakam agensi berita antarabangsa AP, AFP dan Reuters.

KEMERIAHAN sambutan Tahun Baru Cina di seluruh dunia dapat dirasai dengan paparan kepelbagaian gambar yang dirakam agensi berita antarabangsa AP, AFP dan Reuters.

Daripada kostum naga di puncak jambatan Harbour Sydney yang berlatarbelakangkan bangunan ikonik Australia, Sydney Opera House; arca kuda gergasi yang tersergam di Taman Ditan, Beijing, China hinggalah kecomelan gelagat dua ekor penguin yang dipakaikan cheongsam di taman tema Hakkeijima Sea Paradise, Tokyo, Jepun.

Selain itu, bertempat di Akuarium Beijing, para pengunjung turut dihiburkan dengan aksi para penyelam profesional mempamerkan tarian naga di dalam air.

Di Solo, Jawa Tengah, Indonesia, kelihatan beberapa peserta berhias memakai kostum dewa Cina ketika menyertai perarakan tradisi yang dikenali sebagai Grebeg Sudiro untuk menghangatkan sambutan.

Pertandingan

Begitu juga di Yangon, Myanmar, satu pertandingan tarian naga turut sebagai signifikan meraikan kemeriahan Tahun Baru Cina.

Tidak ketinggalan, ribuan tanglung yang dihias di sekitar kawasan hub komersial dan kewangan utama China, Pudong turut menarik perhatian lensa kamera jurugambar yang bertugas.

Semuanya itu ternyata membawa keceriaan buat masyarakat Tionghua yang meraikan perayaan terbesar mereka bersama kaum keluarga masing-masing.

Mengikut kalendar lama kaum Cina, Tahun Baru Cina kali ini memberi laluan pada kedatangan Tahun Kuda yang dipercayai membawa kejayaan, pencapaian dan kekayaan buat penganutnya.

Tahun Kuda merupakan pusingan kelapan dalam kalendar zodiak Cina yang melengkapi 12 pusingan tahun mengikut kepercayaan mereka.

Sempena perayaan ini juga, dianggarkan 3.62 bilion orang akan berkunjung ke China. Migrasi besar-besaran ini secara tidak langsung akan menyebabkan berlakunya kesesakan luar biasa di republik yang mempunyai populasi penduduk seramai hampir 1.4 bilion.

Malah, situasi ini menyebabkan para penumpang tanpa rasa bersalah meninggalkan sampah di dalam kereta api yang membuat perjalanan dari Shenzhen ke Zhengzhou beberapa hari sebelum Tahun Baru Cina.

Menurut Tech in Asia, syarikat media teknologi dalam talian yang berpangkalan di seluruh Asia dan Amerika Syarikat pula, destinasi paling popular bagi perayaan Tahun Baru Cina ini ialah Beijing dan Chongqing manakala bandar-bandar hub, Guangxi dan Hunan terikat di tempat ketiga.

Makan malam

Sementara itu, di Wuhan yang terletak di wilayah Hubei, penduduk tempatan telah menganjurkan acara yang dipanggil ‘Ten Thousand Families Dinner’ pada 24 Januari lalu, iaitu seminggu sebelum perayaan Tahun Baru Cina disambut.

Ia merupakan satu program makan malam besar-besaran yang disajikan kepada lebih 30,000 individu dengan lebih 11,000 menu yang dimasak secara bergotong-royong oleh keluarga komuniti di kawasan tersebut.

Di samping itu, pada perayaan ini juga, makanan tradisi, yee sang merupakan hidangan utama sewaktu makan besar menjelang malam Tahun Baru Cina. Ia diikuti sajian seperti kuih bakul dan limau Mandarin sebagai pencuci mulut.

Turut dikenali sebagai Festival Musim Bunga, perayaan ini turut disambut meriah oleh masyarakat Cina di Malaysia. Malah, kebanyakan pusat beli-belah berlumba-lumba menghasilkan dekorasi paling unik untuk menarik kehadiran pengunjung.

Di Pavilion Kuala Lumpur misalnya, sebanyak 688 patung kuda hiasan memenuhi ruang legar utama pusat beli-belah berprestij tersebut sebagai simbolik meraikan kedatangan Tahun Kuda.

Di Publika, Solaris Dutamas pula, foto yang dirakam jurugambar Kosmo!, Amir Hafiz Abdul Rahman memperlihatkan arca kuda yang diperbuat daripada buluh dan diikat menggunakan tali merah sekali gus menyerlahkan daya kreativiti penghias dekorasi berkenaan.

Tahun Baru Cina akan yang diraikan selama 15 hari dan kemudian diakhiri dengan sambutan Chap Goh Mei. Selamat Tahun Baru Cina buat seluruh masyarakat Cina yang menyambut perayaan ini.