20 unit kedai papan sederet di Pekan Air Mawang musnah terbakar

31/01/2014 10:57pm


ANGGOTA Bomba cuba memadamkan api yang memusnahkan sebahagian daripada deretan kedai papan dekat sini hari ini. - KOSMO!


KUALA PILAH - Dua puluh unit kedai papan sederet musnah dalam kebakaran di Pekan Air Mawang, Johol dekat sini hari ini.

Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian yang bermula pukul 5.43 petang itu.

Sebanyak lima jentera dengan kekuatan 35 anggota, masing-masing dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Pilah, Tampin, Bahau, Telok Kemang serta Alor Gajah, Melaka dikejarkan ke tempat kejadian sebaik menerima laporan.

Pasukan Bomba Sukarela Dangi dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia turut membantu memadam kebakaran itu.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan, Shazlen Mohd. Hanafiah berkata, pasukan bomba tiba di lokasi pada pukul 5.58 petang.

"Kita berjaya mengawal api daripada merebak pada pukul 6.19 petang.

Pemeriksaan mendapati tiada kecederaan atau kematian dalam kejadian itu kerana semua pemilik sempat menyelamatkan diri.

"Pasukan bomba masih lagi menjalankan kerja-kerja memadam api sehingga pukul 9 malam untuk memastikan api dapat dipadamkan sepenuhnya," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

Beliau difahamkan, api yang berpunca daripada sebuah kedai di premis itu merebak dengan pantas berikutan cuaca kering dan berangin.

"Kita masih menyiasat punca kejadian dan anggaran kerugian yang dialami pemilik kedai terbabit," katanya. - Bernama