Enggan campur tangan isu Troussier

KHAIRY (berdiri tengah) bersama para peserta Karnival Sukan dan Kebudayaan 1Malaysia MAYC Kebangsaan di Stadium Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di Gong Badak, Kuala Terengganu semalam.


MENTERI Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin enggan campur tangan berhubung isu Phillipe Troussier yang dikaitkan dengan jawatan jurulatih baharu skuad Harimau Malaya.

Beliau menyerahkan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi memutuskan sama ada ingin mendapatkan khidmat jurulatih Perancis itu sebagai pengendali Harimau Malaya atau sebaliknya.

Bagaimanapun, Khairy berharap mana-mana jurulatih yang dilantik perlu dibuat berdasarkan Indeks Prestasi utama (KPI) sebagai penanda aras bagi memastikan skuad negara mencapai tahap yang diinginkan.

"Saya serah kepada FAM sahaja (buat keputusan), tetapi kalau nak lantik jurulatih mestilah ada KPI tertentu, lebih-lebih lagi kalau melantik jurulatih ini (Troussier) yang saya difahamkan gajinya berjuta-juta (ringgit).

"Kalau terlalu banyak syarat susahlah kita, kita mesti ada penanda aras untuk menilai prestasi, tetapi bagi saya, pelantikan ini saya tak campur tangan, FAM yang buat keputusan.

"Malah saya dah beritahu sebelum ini, tak perlu kita ambil jurulatih world class (kelas dunia) sebab kita pun belum sampai tahap itu, tapi terpulanglah," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Karnival Sukan dan Kebudayaan 1Malaysia MAYC Kebangsaan di Stadium Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di Gong Badak, Kuala Terengganu semalam.

Khairy diminta mengulas perkembangan terbaharu apabila FAM tidak lagi berminat mendapatkan khidmat jurulatih kelahiran Perancis, Troussier bagi mengendalikan skuad Harimau Malaya.

Badan induk bola sepak negara itu juga enggan meneruskan perbincangan dengan Troussier apabila bekas jurulatih Jepun itu dikatakan membuat permintaan yang agak melampau.