FAM tetap tenang

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) dikatakan tidak tergesa-gesa memburu mana-mana jurulatih asing bagi mengendalikan Harimau Malaya jika gagal mendapatkan tandatangan jurulatih kelahiran Perancis, Phillipe Troussier.

Sebaliknya, badan induk bola sepak negara itu kekal mempercayai kredibiliti pengendali sementara Harimau Malaya, Datuk Ong Kim Swee menjelang aksi terakhir Kumpulan D kempen kelayakan Piala Asia 2015 berdepan Yemen bulan depan.

Sumber memberitahu Kosmo!, FAM tidak berhasrat membuat ‘pembelian panik’ dalam masa terdekat sekiranya hasrat mendapatkan khidmat Troussier menemui jalan buntu.

“Tiada sebarang tarikh akhir buat mana-mana pasukan kebangsaan mendapatkan jurulatih baharu.

“Jadi, FAM tidak akan tergesa-gesa mendapatkan jurulatih asing lain hanya semata-mata jika gagal mendapatkan khidmat Troussier sebelum berdepan Yemen Mac nanti.

“Jika gagal mendapatkan khidmat Troussier, tugas mengendalikan Harimau Malaya kekal digalas pengendali sementara iaitu Kim Swee sehingga calon sebenar jurulatih dikenal pasti oleh FAM kelak,” kata sumber itu yang enggan namanya didedahkan kepada Kosmo! semalam.

Terdahulu, FAM dikatakan tidak lagi berminat meneruskan perbincangan dengan Troussier bagi menyandang ‘kerusi panas’ itu.

Ia ekoran jurulatih berusia 58 tahun itu yang ditawarkan kontrak selama tiga tahun dikatakan banyak ‘songeh’ ketika mengadakan rundingan bersama FAM baru-baru ini.

Selain tidak mahu FAM meletakkan sebarang KPI (Indeks Petunjuk Prestasi) terhadap beliau, Troussier juga dikatakan mahu kontrak tersebut ditamatkan dengan segera jika beliau tidak berpuas hati dengan permukaan padang, prestasi pemain mahupun pasukan atau mana-mana perkara berbangkit.

Lebih memeranjatkan, Troussier juga menuntut FAM supaya tetap membayar gaji untuk baki kontrak biarpun beliau sendiri yang menamatkan kontrak tersebut lebih awal.

Mengulas lanjut, sumber itu bagaimanapun mengakui FAM tidak memiliki sebarang pelan kedua sekiranya gagal mendapatkan khidmat Troussier bagi menggantikan Datuk K. Rajagobal yang tidak lagi disambung kontrak pada 31 Disember tahun lalu.

“Buat masa ini, FAM hanya mengadakan rundingan rasmi bersama Troussier biarpun ada nama-nama jurulatih asing yang turut disebut-sebut sebelum ini.

“Namun, FAM tidak perlu tergesa-gesa kerana masa untuk mendapatkan jurulatih berkualiti masih panjang,” jelas sumber itu.

Sebelum ini, Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin mengesahkan nama jurulatih baharu Harimau Malaya dijangka diumumkan pada pertengahan bulan ini.

Namun, Hamidin tetap bersikap ‘mengunci mulut’ apabila enggan mendedahkan identiti sebenar jurulatih berkenaan.

Selain Troussier, jurulatih AS Roma, Zdenek Zeman; bekas jurulatih Liverpool, Alex Miller; bekas pemain Perancis, Marcel Desailly dan bekas jurulatih China dan Uzbekistan, Bob Houghton juga dikatakan berada dalam radar FAM.