Lelaki cedera ditembak polis ditahan ketika terima rawatan di Hospital Melaka

01/02/2014 9:40pm

MELAKA - Seorang lelaki cedera ditembak apabila cuba melanggar anggota polis hari ini ditahan ketika menerima rawatan di Hospital Melaka.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Salehhudin Abd Rahman berkata, sebelum tangkapan, sepasukan anggota polis pergi ke sebuah rumah di Taman Sri Rambai di sini dipercayai menjadi tempat menyimpan barang curi pada 6.30 pagi tadi.

Beliau berkata, pasukan polis terserempak dengan dua lelaki di belakang rumah itu sebelum mereka bertindak melarikan diri dan menaiki sebuah kenderaan pacuan empat roda.

"Mereka kemudian memecut ke arah anggota polis sebelum seorang anggota melepaskan tiga das tembakan ke arah suspek, namun suspek berjaya meloloskan diri, katanya kepada pemberita di sini.

Bagaimanapun, katanya polis mendapat panggilan daripada pihak Hospital Melaka pada 1.15 tengah hari setelah menerima seorang pesakit dari sebuah hospita swasta di sini yang terkena tembakan. - Bernama