Air mata sambut kepulangan


SEBAK. Anak-anak pasangan Azizul dan Shalwati yang ditahan di Sweden menangis teresak-esak ketika disambut saudara-mara sejurus tiba di Kota Bharu, Kelantan semalam.


KOTA BHARU – Kepulangan empat anak kepada pasangan Azizul Raheem Awalludin dan Shalwati Nurshal di Kelantan disambut dengan pelukan dan air mata oleh ahli keluarga mereka di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa di sini.

Keempat-empat anak pasangan itu, Aishah, 14, Ammar, 12, Adam, 11 dan Arif, 7, tiba pada pukul 8.15 malam semalam dengan menaiki sebuah pesawat Firefly.

Seramai 12 ahli keluarga hadir di lapangan terbang termasuk datuk mereka, Nurshal Nordin, 61, memeluk mereka sebaik tiba di balai ketibaan dan empat beradik itu turut menangis ketika berada dalam pelukan ahli keluarga.

Di Kota Bharu, keempat-empat beradik itu akan tinggal bersama adik Shawati, Shaleena Norshal di Kampung Wakaf Tok Wali, Melor.

Sementara itu, suami Shaleena, Nik Farid Nik Abdullah, 44, mengesahkan, empat anak saudaranya itu akan tinggal di rumah mereka.