Azizah ajar banduan menjahit


BERKHIDMAT sebagai tenaga pengajar, Azizah teliti dalam memastikan latihan yang diberikan dapat dilaksanakan secara teori dan praktikal.


SETIBANYA kru Jurnal di Zieza Training Centre (ZTC) di Kompleks Pertama, Kuala Lumpur, kami dijemput untuk menikmati juadah makan tengah hari yang secara kebetulan disediakan untuk peserta pusat latihan kemahiran jahitan itu.

“Mari makan dulu. Lepas kenyang baru seronok nak bercerita.

“Lauk-pauk ini anak lelaki saya yang masak,” kata pengurus ZTC, Siti Azizah Syed Musa.

Hidangan ayam masak lemak cili padi bersama ikan keli masak sambal serta sayur kubis goreng itu cukup membangkitkan selera.

Selesai sahaja menjamah makanan, sesi temu bual bersama wanita berusia 46 tahun itu berlangsung dalam keadaan bersahaja sementelah dia yang lebih mesra disapa Azizah bijak menutur kata ketika diminta menceritakan dirinya.

Menurut ibu kepada empat orang zuriat itu, beliau minat menjahit sejak kecil lagi.

30 tahun

Oleh sebab minat yang begitu mendalam, pemegang Ijazah Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Putra Malaysia (UPM) di Serdang itu mengusahakan sebuah butik pakaian di Medan Mara, Kuala Lumpur pada tahun 1986.

“Saya memulakan bisnes dengan menerima tempahan menjahit manik dan sulam serta busana tradisional seperti baju kurung dan kebaya.

“Dalam tempoh itu, saya turut mengambil beberapa kursus untuk menjadi tenaga pengajar bertauliah bagi program Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) Tahap 1, 2 dan 3,” katanya.

Berpengalaman selama lebih 30 tahun dalam bidang fesyen dan jahitan, wanita kelahiran negeri Melaka ini berpeluang menyalurkan ilmunya melalui pelbagai program anjuran kerajaan.

Azizah memberitahu, antara program yang pernah disertai termasuklah Program Rakyat Termiskin Negeri Sembilan, kursus jahitan anjuran Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi serta beberapa aktiviti di bawah Giat Mara.


KURSUS jahitan manik dan pakaian wanita ditawarkan kepada para pelajar.


Bagaimanapun, kenangan menjadi tenaga pengajar untuk kursus jahitan selama lima hari di Penjara Wanita Kajang, Selangor kira-kira lima tahun lepas masih segar dalam ingatannya.

Beliau yang pada masa itu turut berkhidmat sebagai perunding Majlis Amanah Rakyat (Mara) mengakui hatinya diselubungi perasaan takut serta bimbang ketika pertama kali menjejakkan kaki ke dalam tirai besi itu.

“Perasaan waktu itu bercampur-baur. Hati rasa berdebar-debar namun dalam pada masa yang sama amat teruja dengan peluang yang diberikan,” ujarnya.

Cerita anak sulung daripada tiga adik-beradik ini, seluruh tubuhnya diperiksa terlebih dulu oleh pegawai bertugas sebelum dibenarkan masuk ke dalam penjara.

Penjara

Menurutnya, kakitangan penjara lain pula ditugaskan mengira jumlah peralatan menjahit yang dibawa masuk sebagai salah satu langkah keselamatan.

“Saya tidak dibenarkan membawa masuk apa-apa barang termasuk telefon bimbit, beg tangan atau dompet. Bahkan pin yang dikenakan pada tudung juga disuruh buka,” ujarnya.

Bertutur lanjut, Azizah berkata, sistem sekuriti di sebalik tembok batu dan jeriji besi itu juga dikawal ketat serta diawasi dengan rapi oleh warden penjara.

Manakan tidak, loceng akan dibunyikan setiap dua jam sekali sepanjang lapan jam kursus tersebut berlangsung sebagai tanda peserta akan diperiksa dari hujung rambut hingga ke hujung kaki.

“Peralatan menjahit seperti benang, gunting dan jarum juga dikira secara teliti supaya apa-apa barang yang hilang boleh dikesan dengan cepat bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

“Malah, setiap banduan yang dipecahkan kepada beberapa kumpulan turut diletakkan di bawah pengawasan kakitangan penjara sepanjang masa,” jelasnya sambil memberitahu, kursus itu bertujuan mempelbagaikan kemahiran tahanan wanita selain memberi peluang kepada mereka melengkapkan diri sebelum berhadapan dengan masyarakat.

Kini, Azizah komited untuk melahirkan lebih ramai pelajar dengan membuka akademi jahitan yang lebih besar dan kondusif.

Beliau yang turut bertanggungjawab dalam pembikinan manual pembelajaran Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (Noss) 2014 berkata, beliau menerima banyak permintaan mengajar terutamanya dari negeri termasuk Sabah dan Sarawak.

“Saya bercadang untuk membuka pusat latihan beserta kemudahan asrama bagi memudahkan pelajar khususnya yang tinggal di luar ibu negara,” katanya.

Menurutnya, sejak ditubuhkan lima tahun lalu, pusat latihan itu telah melahirkan lebih 5,000 pelajar yang mempunyai kelayakan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM).

“ZTC menawarkan kursus menjahit manik, pakaian wanita, baju Melayu, tudung, langsir dan cadar pada harga yuran yang berpatutan selain menjadi pusat latihan bertauliah bagi mendapatkan SKM,” katanya.