Jutaan pengguna tren di London terjejas

SEJUMLAH pengguna yang terjejas akibat mogok para pekerja berjalan kaki untuk meninggalkan stesen tren bawah tanah di Waterloo, London semalam.- REUTERS


LONDON - Mogok pekerja-pekerja stesen tren bawah tanah selama 24 jam di sini telah menjejaskan berjuta-juta pengguna perkhidmatan pengangkutan awam itu semalam.

Para pekerja itu memulakan mogok pada pukul 9 malam kelmarin selepas sebuah kesatuan sekerja yang mewakili mereka gagal untuk mencapai persefahaman dengan sebuah agensi kerajaan iaitu Pengangkutan Untuk London berhubung rancangan untuk mengurangkan pekerja dan penutupan pondok menjual tiket.

Agensi kerajaan itu bertanggungjawab berhubung perkhidmatan pengangkutan awam di sini.

Ribuan orang terperangkap di stesen-stesen tren bawah tanah ekoran mogok tersebut.

Ekoran mogok itu, ribuan orang berbaris untuk menggunakan bas dan bot untuk pergi ke pejabat.

Perkhidmatan tren bawah tanah itu membawa kira-kira 4.5 juta penumpang pada setiap hari.

Seorang penumpang, Rubie Johal yang berusia 18 tahun berkata, dia menunggu selama sejam sebelum menyedari mogok tersebut telah dilancarkan oleh para pekerja.

Perdana Menteri, David Cameron turut menggunakan Twitter bagi mengkritik mogok tersebut. - Agensi