Prahok busuk tetapi sedap


SEORANG penduduk memijak longgokan ikan di dalam bakul rotan bagi menghancurkan isi ikan.


KEMBOJA sememangnya terkenal dengan binaan Angkor Wat yang terletak di Siem Reap. Negara yang mempunyai populasi kira-kira 15 juta penduduk itu juga dikenali dengan rumah ibadat dan budaya tariannya.

Bukan itu sahaja, Kemboja turut popular dengan sajian tradisi terkenal yang dinamakan prahok. Prahok atau 'keju' Kemboja itu sebenarnya bukan diperbuat daripada susu sebaliknya dihasilkan daripada ikan yang diperap.


IKAN-IKAN dibersihkan terlebih dulu sebelum diproses menjadi prahok.


Menu menyelerakan tersebut digunakan sebagai bahan perasa dalam masakan bagi menambah selera. Bahan utama yang diperlukan ialah ikan yang dihancurkan terlebih dulu sebelum diperap menjadi pes yang mempunyai rasa yang agak masin.

Biarpun bau 'keju' Kemboja tersebut dikatakan busuk seperti sarung kaki yang sudah lama tidak dicuci, ia tetap menjadi kegemaran rata-rata masyarakat di negara tersebut.

Pada asalnya, prahok merupakan satu kaedah menyimpan ikan untuk dijadikan bekalan makanan ketika nelayan tidak dapat turun ke laut selama berbulan-bulan disebabkan musim hujan.


KANAN: Rupa prahok di atas daun pisang sebelum dimasukkan ke dalam makanan. - Gambar hiasan


Kini, ia menjadi perasa tambahan kerana mudah disimpan. Namun demikian, pes ini perlu digunakan dalam tempoh singkat kerana ia tidak tahan lama. 'Keju' Kemboja itu sering dijadikan makanan agihan kepada mangsa banjir atau kemarau oleh badan-badan amal.

Ia boleh dimasak atau digoreng tetapi biasanya tidak dimakan mentah kerana dikhuatiri menjejaskan kesihatan. Menariknya, menu asli tersebut dikatakan tidak jauh bezanya dengan sajian Pissalat dari Perancis.

Lazimnya, Prahok dihidangkan dalam sajian seperti kari, barbeku dan sup.