NUJM kesal tindakan polis panggil wartawan Kosmo!

TINDAKAN polis memanggil petugas media termasuk wartawan Kosmo! bagi memberi keterangan berhubung kontroversi antara skuad Johor Darul Takzim (Johor DT) dengan T-Team menimbulkan perasaan tidak puas hati Kesatuan Wartawan Semenanjung Malaysia (NUJM).

Presidennya, Chin Sung Chew berkata, tindakan itu adalah tidak wajar kerana wartawan hanya menjalankan tugas melaporkan insiden tersebut bukan melakukan jenayah.

Katanya, NUJM bukan enggan bekerjasama dengan polis, sebaliknya ia perlu dilakukan mengikut prosedur termasuk memaklumkan hal tersebut kepada ibu pejabat organisasi media berkaitan.

“Wartawan tidak patut dipangggil polis. Mereka hanya menjalankan tugas dan membuat laporan apa yang berlaku bukan terbabit kes jenayah,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Kosmo! semalam melaporkan Penolong Ketua Biro Kosmo! Biro Johor, Mohd. Hafiz Abbas dipanggil bagi memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di Johor Bahru.

Siasatan dibuat oleh pegawai polis dari Bukit Aman bagi membantu siasatan insiden kekecohan dalam terowong menuju ke bilik persalinan pemain di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin semasa perlawanan pusingan kedua Piala FA antara Johor DT dengan T-Team pada Sabtu lepas.

Menurut Sung Chew, bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar pernah berjanji dengan pihaknya bahawa mereka tidak akan bertindak sewenang-wenangnya ke atas petugas media.

“NUJM diberi jaminan bahawa polis tidak akan panggil (beri keterangan) wartawan sewenang-wenangnya,” katanya.

Tambahnya, polis boleh menggunakan bahagian perhubungan awam mereka untuk berhubung dengan organisasi media mengenai sebarang perkara termasuk bagi membantu sebarang siasatan kes.

Katanya, petugas media juga tidak seharusnya dipanggil ke balai polis yang seolah-olah menggambarkan mereka terlibat kes jenayah.

“Langkah wajar ialah polis boleh datang ke pejabat media untuk mengambil keterangan,” katanya.

Sung Chew memberitahu, petugas media juga tidak seharusnya melanggar etika kewartawanan dengan mendedahkan sumber mereka berhubung sesuatu berita atau laporan biarpun diminta berbuat demikian oleh polis.

“Perkara ini disahkan oleh mahkamah mengenai satu kes melibatkan petugas media sebuah akhbar apabila hakim memutuskan wartawan tidak harus dedah sumber mereka,'' katanya.