Keputusan double standard - MB


AHMAD SAID


MENTERI Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said melahirkan rasa kecewa dengan keputusan yang dibuat Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kelmarin yang memberikan kemenangan percuma 3-0 kepada Johor Darul Takzim (Johor DT) dalam perlawanan pusingan kedua kempen Piala FA 2014 yang tertunda di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Johor Bahru pada Sabtu lalu.

"Saya amat kecewa dengan keputusan FAM (beri kemenangan kepada Johor DT). FAM kena profesional, jangan double standard. Kalau beginilah caranya, saya percaya bola sepak Malaysia tidak akan ke mana," tegasnya.

Pada aksi di Larkin itu, Johor DT yang beraksi menentang T-Team mendahului 2-1 pada separuh masa pertama sebelum pasukan berstatus kelab dari Terengganu itu membuat keputusan untuk tidak meneruskan perlawanan pada babak kedua selepas berlaku kekecohan dalam terowong menuju ke bilik persalinan di stadium tersebut.

Ahmad berkata, beliau akan memanggil kesemua pemain T-Team serta pihak pengurusan pasukan untuk melakukan sumpah al-Quran di depan beliau sendiri dalam waktu terdekat ini.

Beliau menambah, sumpah itu dijangka dibuat sama ada Isnin atau Selasa depan dalam usaha mencari kebenaran berhubung insiden tersebut.

"Saya mahu para pemain dan pengurusan pasukan memberi keterangan yang betul tentang kekecohan tersebut."

Ahmad turut menyarankan agar pengurusan serta para pemain Johor DT turut melakukan perkara yang sama (bersumpah al-Quran) bagi memastikan siapa sebenarnya di pihak yang benar.

"Saya akan panggil seluruh pasukan T-Team dalam masa terdekat ini, kita akan dapatkan penjelasan sebenar dan saya akan minta para pemain dan pengurusan yang saksikan insiden itu agar bersumpah al-Quran di depan saya termasuklah Muhammad Irfan Abdul Ghani.

"Adakah dia (Irfan) melihat sendiri apa yang berlaku, saya difahamkan dia pemain simpanan dan sudah tentu kalau ikut proses biasa, bila waktu rehat separuh masa pertama, dia tak masuk dalam terowong kerana perlu buat warm up di padang.

"Sebagai orang Islam, saya ingin lihat perkara ini benar, saya juga minta JDT (pemain dan pengurusan) bersumpah al-Quran kerana kita orang Islam," katanya ketika ditemui ketika melawat Kampung Pelandan, Hulu Terengganu semalam.

Dalam pada itu, Ahmad tetap mempersoalkan kewibawaan FAM sambil menyifatkan badan induk itu membuat satu keputusan yang tidak profesional ekoran keputusan T-Team yang enggan meneruskan perlawanan setelah mengambil kira faktor keselamatan para pemain.

"Saya difahamkan ia (keputusan FAM) berasaskan laporan dan komisioner perlawanan, mungkin mereka tak terlibat insiden dalam terowong dan mereka tak tahu apa cerita sebenarnya. Sepatutnya perlu diteliti dengan mendalam oleh FAM.

"Takkanlah Terengganu bodoh sangat, suka-suka nak tarik diri tanpa alasan tertentu, saya dimaklumkan mereka diiring keluar oleh polis dengan bas hingga ke Mersing. Jadi, sudah tentulah melibatkan soal keselamatan, sepatutnya ini diambil kira oleh FAM.

"Ini tentu soal keselamatan bukan tarik diri. Polis mengirngi sehingga ke Mersing ini patut diambil kira FAM. Dan ini tidak adil kepada Terengganu. Takkan Terengganu bodoh sangat nak suka-suka tarik diri.

"Kenapa polis Johor iringi sampai Mersing, ini persoalannya? Kita manusia ada akal, fikirlah secara rasional," ujarnya.

Beliau turut membandingkan tindakan yang diambil badan induk bola sepak negara itu itu dengan perlawanan membabitkan Johor DT dengan Pahang tahun lalu yang akhirnya memutuskan agar diadakan perlawanan ulangan.

"Dahulu juga pernah berlaku apabila penonton terlalu ramai ketika menyaksikan perlawanan antara Johor DT dengan Pahang, kemudiannya diadakan perlawanan ulangan, kenapa boleh pula.

"Tetapi saya memikirkan masa depan bola sepak Terengganu dan peminat sukan saya minta mereka teruskan pertandingan. Kalau kira tidak pentingkan bola sepak atau kepentingan peminat sukan, lebih baik tarik diri.

"Tak payah bertandinglah di Malaysia kerana saya lihat pengurusan bola sepak di Malaysia ini tidak ke mana," tegasnya.