Migrasi tanpa lelah Yuka Kharisma

YUKA KHARISMA kini mempertaruhkan masa depan dan karier nyanyian di Malaysia.


GEMA muzik dan harum nama Yuka Kharisma barangkali masih asing dalam warna muzik di Malaysia. Begitu juga di tanah kelahirannya di Indonesia. Namun, percaturan kariernya yang kini berpengkalan di Kuala Lumpur menghadirkan satu definisi tersendiri bahawa wanita kelahiran Aceh Utara itu, punyai aura yang layak diperhatikan.

Kehidupan peribadi mahupun seninya seperti manusia nomad. Berpindah-randah sudah menjadi asam garam dalam hidupnya. Mula-mula canggung kerana harus meninggalkan persekitaran dan teman-teman yang selesa bermain, lama-kelamaan, dia menjadi lali. Kehidupan yang sebegitu sebenarnya menjadi jendela buat Yuka untuk melihat dunia.

"Rasanya hidup saya ini seperti manusia purba, macam orang nomad. Berpindah-randah sahaja. Mulanya kekok, tapi lama-lama saya jadi biasa dengan budaya dan persekitaran. Pemikiran saya jadi terbuka, saya mula menganyam ilham daripada setiap perbezaaan dan jalan-jalan kehidupan yang saya lalui," letus Yuka.

Melenturkan ceritanya lagi, Yuka berbicara: "Saya lahir di Aceh Utara. Pada umur 13 tahun, saya berpindah ke Aceh Timur. Masuk umur 14 tahun, saya dan keluarga berpindah pula ke Bandung. Dari umur 16 dan 17 tahun, saya sempat tinggal dan bersekolah menengah di Sungai Petani, Kedah sebelum balik semula ke Aceh Timur. Saya kekal di Aceh sehinggalah berpindah sepenuhnya ke Jakarta sebaik sahaja menyertai Indonesian Idol pada tahun 2008."

Demi memacu kecintaan di litar nyanyian, Yuka juga berpindah padang. Dia meninggalkan keluarga dan tapak yang sedang dibina di Jakarta demi meneruskan survival yang dijanjikan pihak pengurusan baharunya di Kuala Lumpur (KL).

"Siapa yang mahu meninggalkan keluarga dan negara tercinta, siapa yang juga mahu berjaya di persekitaran sendiri, tetapi perasaan dan kecintaan itu harus dibahagi-bahagi. Rencananya asalnya memang di Jakarta, idea untuk memulakan semula karier saya di Kuala Lumpur ditawarkan oleh pihak pengurusan. Saya percaya dengan pengaruh dan jaringan profesional pihak pengurusan di Malaysia, jadi saya anggap hijrah ini akan membawa hikmah dalam karier nyanyian," katanya yang bakal melancarkan single pertamanya berjudul Dengan Tiada Luka.

Sebelum ini, Yuka sebenarnya mempunyai sebuah lagi single berjudul Kita Harus Percaya hasil ciptaan komposer Pay dan Dewiq.

"Tetapi sebagai satu strategi juga, lebih enak dan manis rasanya kalau jenama Yuka di Malaysia ini menggunakan buah tangan dan kolaborasi komposer di sini. Untuk lagu Dengan Tiada Luka saya bekerjasama dengan komposer Azlan Abu Hassan dan lirik oleh Shah Shamshiri. Semoga lagu itu diterima dan menusuk hati peminat muzik di sini," katanya menunduk ke bumi.

Ibu bercerai

Tambah Yuka: "Lagu itu tentang perasaan manusia. Ketika mempunyai ikatan dengan seseorang, pada masa yang sama, ada manusia tidak mampu menidakkan perasaan suka kepada seseorang yang lain. Bunyinya sedikit nakal, tapi sewaktu remaja, dulu-dulu, perasaan itu pernah saya lalui. Saya percaya perasaan itu dekat dengan ramai orang."

Di Kuala Lumpur, Yuka bernaung bawah pengurusan Mentari Management Sdn. Bhd. manakala Mewah Event bertindak selaku ejen publisiti.

"Semasa remaja, saya ikut merantau kerana pekerjaan orang tua. Bapa seorang jurutera, jadi di mana ada tempat yang menawarkan pekerjaan, di situlah keluarga ikut serta. Sekarang saya merantau lagi tetapi untuk meneruskan cinta terhadap seni. Saya bukan mahu dikenali atau popular semata-mata, tetapi kalau lagu-lagu saya diterima dan disukai, ia seperti saya ini menghadiahkan sesuatu untuk dunia. Saya tidak pernah kibar bendera putih dengan hijrah ini," ujar Yuka, 26, yang sebelum ini kerap berulang-alik antara Kuala Lumpur dan Jakarta atas undangan nyanyian.

Melanjutkan kisah kariernya, biarpun tidak sempat dikenali sebagai finalis Indonesian Idol, program realiti itulah yang membekalkan platform untuk Yuka mengemudikan sampan kecilnya di tengah perut kota Jakarta yang memerlukan banyak aspek luar biasa.

"Mungkin saya belum cukup kuat, belum cukup strategi atau belum cukup luar biasa untuk berada di puncak di sana, tetapi selesai Indonesian Idol saya bersama bernaung bawah penyanyi yang cukup berpengaruh di sana, TT DJ selama dua tahun. Dia ibarat mentor. Banyak pendedahan dan ilmu saya peroleh daripadanya. Saya diperkenalkan dengan situasi sebenar survival untuk menjadi penyanyi.

"Ternyata tidak mudah sehinggalah pada tahun 2011 saya diperkenalkan kepada Mentari, daripada situ kerjasama kami terjalin," katanya yang juga mempunyai pertalian saudara dengan pereka fesyen Putera Cosry yang cukup popular dalam kalangan peminat fesyen tempatan.

Lebih memeritkan Yuka, semasa karier baru hendak berputik dia dikejutkan dengan perceraian ibu bapanya.

Abang meninggal dunia

"Sebaik pulang semula Indonesia pada tahun 2005, keluarga kami bertaburan. Bapa di Bandung, manakala ibu kembali ke Aceh Timur. Ketika itu juga, saya mula hendak menyanyi. Semasa di Aceh dahulu, saya hanya mahu menyanyi, tidak diberi bayaran pun tidak mengapa.

"Apabila diterima masuk ke Indonesian Idol, saya harus berulang-alik sebelum bawa ibu dan adik-beradik tinggal di Jakarta. Saya ini tulang belakang keluarga.

"Masa yang paling menyakitkan ialah saat kematian abang kedua pada tahun 2010. Dia yang paling rapat yang banyak memberi inspirasi saya bidang muzik. Sekarang saya masih punyai seorang lagi abang dan seorang adik yang masih belajar di universiti. Alhamdulillah, saya masih mampu menyara ibu dan adik saya dengan hasil nyanyian," katanya yang merupakan anak ketiga daripada empat beradik itu.

Berbalik kepada percaturan untuk menjenamakan pengaruh Yuka Kharisma di mata peminat muzik tempatan, wanita berkulit sawo matang lega kerana impian untuk melancarkan sebuah album bakal terlaksana.

Saat Yuka beroleh peluang keemasan di negara ini, sengaja penulis bangkitkan, betapa bertuahnya Yuka sedangkan ramai penyanyi Malaysia sukar mendapat peluang sepertinya ini di Jakarta.

"Sebenarnya, ramai penyanyi di Jakarta sendiri sangat sukar untuk mendapat peluang dan sukses di Jakarta. Di sana, orangnya ramai dan pasarannya meluas kerana Indonesia itu ada lebih 250 juta penduduk. Kalau sekadar ada lagu atau album, jika tiada faktor luar biasa, belum pasti lagu itu mendapat peluang untuk di ketengahkan. Di sana harus ikut zaman, album atau lagu tidak ikut zaman, tunggulah sehingga zaman berubah. Tunggu berzaman-zaman, bertahun-tahun pun belum juga dapat peluang," katanya yang menyifatkan Jakarta semakin hilang nilai kemanusiaan.

"Di sini (KL) nilai itu masih kuat," tutupnya sambil mengakui paling tidak dapat menahan nafsu untuk minum teh tarik kerana minuman itu sukar diperolehi di Jakarta.