Forteen bukti kewibawaan

GRUP Forteen (dari kiri) One, Ameer, Izzue dan Ariz akan menjayakan sebuha konsert istimewa pada Mac nanti.


FORTEEN bermula apabila empat jejaka berbakat Izzue, Ariz, One dan Ameer disatukan menerusi satu uji bakat oleh KRU Music pada tahun 2011. Genap tiga tahun dalam industri, grup berwajah jambu itu menempa nama popular dalam kalangan peminat muzik tempatan. Alunan vokal harmoni mereka melatari lagu-lagu pop balada sudah menjadi hit di corong-corong radio.

Hal itu terbukti melalui kejayaan single pertama Berdua Bersatu sehingga melayakkan Forteen berada dalam carta artis berkumpulan paling popular sekitar tahun 2011.

Forteen kemudian tampil dengan single kedua Seperti Dulu. Diangkat menjadi lagu tema filem 29 Februari, perjalanan seni Forteen semakin direstui khalayak apabila mereka meraih trofi Vokal Berkumpulan Terbaik pada Anugerah Industri Muzik ke-19 (AIM19) pada tahun 2012. Kumpulan itu memperoleh tuah berganda apabila tercalon ke peringkat Separuh Akhir Muzik Muzik ke-27.

Single ketiga berjudul Kita turut mendaki penerimaan umum apabila tercalon ke peringkat Separuh Akhir Muzik Muzik ke-28 dan Top 5 Vokal Berkumpulan Terbaik AIM20.

Meneruskan perjalanan seni mereka, Forteen telah tampil dengan album debut berjudul Kita yang dipasarkan pada penghujung tahun lalu. Memuatkan enam lagu termasuklah Kita, Tidak Pernah Berjumpa, Dikau Saja, Berdua Bersatu, Ketika Ini dan Seperti Dulu, album berkenaan satu pencapaian terbaik saat ramai penyanyi tidak mendapat peluang dan kepercayaan syarikat untuk mengeluarkan album.

Mempertaruhkan single terbaru mereka berjudul Tidak Pernah Berjumpa, Forteen memberikan kelainan berbanding single terdahulu yang berentak pop akustik dan santai. Sebagai salah seorang anggota Forteen, Izzue yang selama ini didakwa tidak menyumbang vokal dalam lagu-lagu Forteen dipilih sebagai vokal utama untuk lagu Tidak pernah berjumpa.

Dikenali sebagai Izzue Islam, lelaki dari Kelantan itu menganggap vokal utama dalam single baharu kumpulannya itu satu peluang terbaik. Dia mahu membuktikan kemampuan sebagai penyanyi dan bukan sekadar penyanyi tempelan.

"Setiap lagu Forteen digubah mengikut keistimewaan vokal masing-masing. Lagu-lagu sebelum ini lebih sesuai dengan suara anggota kumpulan yang lain, jadi mereka menjadi suara utama untuk lagu tersebut. Itu tidak bermakna saya hanya tempelan tetapi ketika itu suara anggota lain yang lebih bersesuaian," ujar Izzue yang turut terkenal sebagai pelakon.

Sebagai tanda terima kasih atas setiap sokongan daripada peminat, Forteen kini dalam persediaan untuk membikin sebuah konsert istimewa menerusi Konsert Kita 20 Forteen. Bakal bakal berlangsung pada 29 Mac depan, persembahan istimewa itu mengambil tempat KL Live di Jalan Sultan Ismail sebagai lokasi bertemu khalayak.

"Kami mahu membuktikan bahawa Forteen bukan sekadar penyanyi studio tetapi boleh membuat persembahan secara langsung di hadapan peminat. Kami sahut penganjuran konsert itu sebagai satu cabaran dan penghargaan istimewa," ujar seorang lagi anggota Forteen.

Bermula pada pukul 5 petang sehingga 7 malam, konsert selama dua jam itu akan menggunakan live band bagi memantapkan lagi persembahan selain akan diselang-seli dengan gimik dan kejutan yang bakal diketahui pada hari konsert tersebut.

Sebanyak 15 buah lagu bakal dipersembahkan dalam konsert itu. Peminat boleh mendapatkan tiket yang berharga RM80 di talian United Studios 03-83201888, KL Live 03-21622570/71/72 dan di Redbox Ria 03-21457788. Maklumat lanjut di facebook.com/officialforteen.