Hubungan kami serius - Aiman



CERITA mengenai hubungan istimewa yang terjalin antara pelakon Aiman Hakim Ridza, 25, dan Nur Fathia Abdul Latiff, 27, mula menjadi bualan ramai apabila Aiman dilihat turut serta mengikuti Fathia menyertai rombongan penerbangan sulung Air France dari Kuala Lumpur ke Paris, Perancis pada tahun lalu.

Lebih menguatkan lagi spekulasi apabila ada beberapa buah blog hiburan tanah air yang mendedahkan tentang aksi mereka yang kelihatan cukup mesra ketika berada di lapangan terbang sebelum berlepas ke Paris.

Bagaimanapun, sama ada Aiman atau Fathia, masing-masing tidak pernah mendedahkan status sebenar berkenaan hubungan yang terjalin, meskipun ada pihak yang berpendapat mereka memang sedang bercinta.

Setelah acap kali ditanya dengan soalan yang sama tentang hubungan yang terjalin, akhirnya Fathia membuka mulut dan membuat pengakuan yang kini dia merupakan kekasih kepada pelakon kacak tersebut baru-baru ini.

Bertemu dengan Aiman ketika sidang akhbar pementasan teater Bidasari di Istana Budaya (IB), Kuala Lumpur minggu lalu, pelakon tersebut lantas ditanya berkenaan kenyataan yang dibuat oleh Fathia itu.

Menurut Aiman, dia mengambil tindakan berdiam diri berhubung status hubungannya dengan Fathia selama ini kerana merasakan ia bukanlah suatu perkara yang perlu didedahkan atau dihebohkan kepada umum.

"Ya, hubungan kami memang serius sejak setahun yang lalu. Sebelum ini saya mengambil tindakan untuk berdiam diri kerana kami masing-masing ada keluarga dan perlu menjaga hati mereka.

"Lagipun saya agak kurang senang sekiranya perkara ini terlalu digembar-gemburkan. Bayangkan kalau hubungan yang terjalin ini tidak menjadi, sudah tentu saya tidak berasa seronok," jelasnya berhubung kisah cintanya dengan Fathia.

Dalam pada itu, pelakon yang dikenali ramai menerusi drama bersiri Vanila Coklat itu juga menepis dakwaan tentang pembabitannya dalam teater Bidasari semata-mata disebabkan Fathia yang turut berlakon dalam pementasan teater berkenaan.

AIMAN dan Fathia kini enggan menafikan lagi hubungan cinta mereka.


Pernah menolak tawaran yang diberikan kepadanya sebelum ini, Aiman yang memegang watak sebagai Tengku Indra menjelaskan, dia memberikan persetujuan atas dasar semangat yang telah diberikan oleh Ketua Pengarah IB, Datuk Mohamed Juhari Shaarani dan Erma Fatima.

Ujarnya, dengan penampilan sulungnya dalam bidang teater, sudah tentu peluang yang diperoleh itu menjadi platform terbaik buat dirinya dalam usaha untuk memperbaiki lagi mutu lakonannya.

"Sebelum ini saya menolak kerana masih belum ada keyakinan lagi, meskipun agak teruja dapat berlakon teater.

"Namun begitu, dengan semangat yang diberikan oleh Abang Joe (Juhari) dan Kak Erma telah membuka hati saya semula untuk menerimanya.

"Apabila difikirkan semasak-masaknya, saya merasakan bukan senang peluang sebegini akan saya dapat pada masa akan datang. Jadi, saya ambil dari sudut yang positif serta ingin membalas kepercayaan yang telah diberikan," ujarnya.

Berkenaan cabaran yang terpaksa dilaluinya memandangkan Bidasari merupakan teater sulung lakonannya, Aiman memberitahu masa yang terlalu singkat berlatih serta perlu bersilat agak mencabar dirinya.

Mengakui sedikit tertekan memandangkan dia hanya dapat berlatih dalam tempoh kurang sebulan, ia langsung tidak melemahkan semangatnya untuk tampil dengan persembahan yang terbaik.

"Sebenarnya saya memang langsung tiada asas dalam ilmu persilatan tetapi bernasib baik kerana ada guru yang mengajar. Selain itu, saya perlu berlatih selama 12 jam setiap hari, bermula dari pukul 12 tengah hari hingga 12 tengah malam," jelasnya.

Brazil

Bercerita tentang perkembangan dunia lakonannya pula, Aiman menyatakan, dia agak gembira kerana drama bersiri lakonannya yang kini sedang ditayangkan iaitu Projek Memikat Suami dan Antara Laut China Selatan mendapat sambutan baik penonton.

FATHIA mahu memberi yang terbaik dalam persembahannya menerusi teater Bidasari.


Dedah Aiman, selepas selesai membintangi teater Bidasari, dia ada mendapat tawaran berlakon dalam sebuah telemovie berjudul Nak World Cup dan berkemungkinan besar penggambaran akan dijalankan di Brazil.

"Memandangkan pertandingan bola sepak Piala Dunia 2014 akan berlangsung di Brazil tahun ini, saya telah diberitahu akan ada penggambaran yang dilakukan di sana pada bulan Jun nanti kerana ada babak yang menunjukkan saya menonton perlawanan bola sepak yang berlangsung.

"Sudah tentu ia merupakan satu rezeki yang tidak dijangka kerana selama ini saya pernah mengimpikan untuk menyaksikan perlawanan bola sepak Piala Dunia 2014 depan mata sendiri," ujarnya.

Bagaimanapun, pelakon tersebut menyatakan, impiannya itu yang pernah hampir berkubur sebelum ini lantaran kos penerbangan serta tiket perlawanan yang sangat mahal telah menjadi realiti apabila ditawar berlakon dalam telemovie berkenaan.

Berterus terang

Selepas berlangsungnya sidang akhbar, Kosmo! turut mendapatkan kenyataan daripada Fathia berhubung sikap terbukanya sekarang yang akhirnya telah mendedahkan hubungan sebenar dengan Aiman.

Menurut Fathia, dalam situasi sekarang ini dia merasakan bahawa langkah terbaik yang harus dilakukan adalah dengan berterus terang agar ia tidak terus dibangkitkan oleh ramai pihak pada masa akan datang.

"Sebelum ini, sudah ramai yang selalu bertanya mengenai hubungan kami berdua. Setiap kali berjumpa dengan mana-mana pihak, terutamanya wartawan, pasti soalan mengenai hubungan saya dan Aiman yang akan ditanya.

"Akhirnya, saya merasakan lebih baik kalau saya mengaku sahaja yang kami ini memang bercinta. Jadi, selepas ini tidak akan ada lagi orang yang akan bertanya kerana semuanya sudah tahu," luahnya.

Sementara itu, apabila ditanya mengenai pembabitannya dalam teater Bidasari, dia yang memegang watak sebagai Bidasari menyatakan agak gugup kerana ia merupakan teater pertama lakonannya.

AIMAN mengaku jadual kerjanya sibuk, namun mencuba untuk terbabit dalam teater Bidasari untuk mencabar kemampuannya.


Berhadapan dengan situasi yang sama seperti kekasihnya itu kerana mempunyai masa terhad untuk berlatih, pelakon cantik itu berkata, dia memulakan latihan sejak 1 Februari lalu kerana terbabit dengan penggambaran drama bersiri Ariana Rose di London, England sebelum ini.

"Mungkin ramai tidak tahu saya mempunyai perasaan gemuruh apabila beraksi di hadapan orang ramai. Jadi, menjelang hari pementasan saya perlu menghilangkan perasaan tersebut dengan bantuan pengarah dan pelakon lain," ujarnya.

Menurut Fathia, dia bersetuju untuk membintangi teater tersebut kerana ingin tampil dengan kelainan agar peminat tidak bosan. Malah, dia gembira kerana Aiman turut berlakon bersama-sama dengannya.

"Meskipun kami pernah bergandingan dalam beberapa buah drama sebelum ini, namun perasaan berdebar itu tetap ada. Namun begitu, saya nampak kesungguhan yang ada dalam dirinya sehingga merasakan lakonannya lebih baik berbanding saya," jelasnya.