Jana pendapatan melalui jualan aksesori

DARI kiri: Jamuna, Junaidah dan Noor Saliwati sibuk melayan pelanggan yang mengunjungi pameran yang diadakan di Pasar raya Besar Giant Cheras baru-baru ini.


AKSESORI dan wanita boleh digambarkan sebagai isi dengan kuku. Manakan tidak, dalam kalangan penggemar fesyen aksesori sering kali dilihat sebagai pelengkap penampilan.

Bagi Nadirah Yusuf, 25, penampilan dirinya umpama tidak sempurna sekiranya tidak dihiasi gelang, rantai, kerongsang mahupun batu-batu permata yang berwarna-warni.

"Bergantung kepada acara, saya akan sentiasa memastikan memakai salah satu aksesori ini kerana ia mampu menceriakan hari saya," katanya ketika ditemui Kosmo! di Pasar raya Besar Giant di Batu 9, Cheras, Selangor baru-baru ini.

Menurutnya, selain memperkemaskan gaya, padanan aksesori yang bersesuaian juga mampu menaikkan keyakinan diri apabila berhadapan dengan masyarakat.

"Rekaan aksesori hari ini tidak bersifat konvensional, sebaliknya mempunyai pelbagai rekaan dan berwarna-warni yang menambat hati semua golongan termasuk remaja dan kanak-kanak," katanya.

Peluang perniagaan

Menyedari potensi pasaran semasa, D'or Rue Sdn. Bhd. (D'or Rue) dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat melalui Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) membuka peluang kepada golongan wanita khususnya ibu tunggal dan mereka yang berpendapatan rendah untuk berkecimpung dalam bidang perniagaan aksesori.

Noor Saliwati Md. Ali, 40, berkata, penyertaan dalam aktiviti promosi produk usahawan aksesori kraf JPW itu membolehkannya mendapat latihan pembuatan aksesori dan pemasaran, sekali gus membantu menjana pendapatan kepada dirinya.


JAM tangan manik ini pasti menambat hati sesiapa sahaja khususnya penggemar fesyen produk usahawan tempatan.


"Saya mendapat latihan di ibu pejabat D'or Rue di Batu Caves selama beberapa bulan sebelum menjalankan perniagaan aksesori sejak lebih setahun lalu.

"Bagi saya, jika peserta program bijak meraih peluang dan serius dalam mengusahakan perniagaan ini, ia dapat meningkatkan taraf ekonomi dan kehidupan mereka," katanya.

Tambah Noor Saliwati, dia berasa seronok menjalankan perniagaan itu kerana dikelilingi perhiasan diri yang cantik.

"Adakalanya saya sendiri geram dengan aksesori yang dijual kepada para pelanggan.

"Mempunyai pelanggan tetap di sebelah utara seperti Kedah dan Perak telah menjadi dorongan untuk saya terus berusaha menghasilkan aksesori yang memenuhi keperluan dan cita rasa mereka. Walaupun mempunyai cabaran tersendiri, namun ia tidak mematahkan semangat saya untuk terus mencuba kerana pendapatan yang diperoleh agak lumayan," ujar usahawan yang turut menjalankan perniagaan secara dalam talian melalui laman sosial Facebook dan Instagram menggunakan nama Sally Noor.

Promosi

Sementara itu, Ketua Pengarah JPW, Datuk Munirah Abdullah Bajanuddin berkata, program yang telah dimulakan pada tahun 2013 itu dilaksanakan dengan kerjasama syarikat penyedia perkhidmatan di bawah Program Inkubator Kemahiran Ibu Tunggal dan Program Inkubator Keusahawanan Wanita yang turut melibatkan penyertaan pasar raya utama di seluruh negara.

"Sebagai permulaan, pada tahun ini, rangka promosi diadakan di pasar raya besar Giant ini dari 24 Januari sehingga 2 Februari lalu.

"Kami merancang untuk memperluaskan lagi aktiviti promosi termasuk menjelajah ke beberapa syarikat peruncitan dan pemasaran utama lain di seluruh negara dalam masa terdekat.

"Selain itu, kami juga akan mempelbagaikan lagi produk usahawan seperti pakaian dan makanan bagi memenuhi keperluan pengguna hari ini," katanya sambil memaklumkan penyertaan program masih lagi dibuka kepada wanita-wanita yang berminat.