Persepsi tanpa visual Dialogue In The Dark


DIALOGUE In The Dark merupakan aktiviti pelancongan terbaharu yang diperkenalkan di Petrosains.


PAMERAN Dialogue In The Dark (DITD) di Pusat Penemuan Sains Petrosains yang terletak di pusat beli-belah Suria KLCC, Kuala Lumpur pastinya pasti memberi pengalaman baharu kepada pengunjung.

Dicetuskan oleh Dialogue In The Dark Sdn. Bhd. (Malaysia), pameran DITD yang dilihat sebagai pameran seumpamanya di negara ini membolehkan pengunjung memasuki sebuah bilik gelap dan melakukan aktiviti secara berkumpualan selama 45 minit.

Jurugambar Kosmo!, Azliza Hailani berkongsi pengalaman, DITD merupakan destinasi terbaik kepada pengunjung yang ingin menyelami kehidupan individu cacat penglihatan.

“Sebelum memasuki dewan pameran, pengunjung dibekalkan dengan sebatang tongkat. Sebaik kaki melangkah ke dalam dewan pameran, keadaan menjadi gelap-gelita kerana tiada sebarang cahaya yang kelihatan. Kami seperti orang buta,” jelasnya.

Tidak membiarkan pengunjung teraba-raba mencari jalan, kedengaran Lisa Chee Li Li yang merupakan seorang jurulatih, memberi arahan dan panduan arah bagi membantu mereka yang terlibat.

“Sebanyak 80 peratus keputusan kehidupan harian individu bergantung pada apa yang dilihat, namun pengunjung yang menyertai aktiviti ini hanya menggunakan 20 peratus untuk membuat tindakan atau keputusan.

“Pengalaman berada di dalam dewan ini memberi petunjuk kepada mereka tentang kehidupan seorang yang cacat penglihatan. Pengunjung diajar cara melintas jalan dengan hanya mendengar bunyi kenderaan sekeliling, membeli barangan keperluan di pasar dan beriadah di taman,” ujarnya yang buta sejak tiga tahun lalu akibat diabetes kepada Kosmo! baru-baru ini.

Cabaran

Tambahnya, segala aktiviti yang diadakan di pameran tersebut bertujuan meningkatkan kesedaran dan kepekaan umum terhadap cabaran yang perlu diatasi individu cacat penglihatan setiap hari.

Idea asal DITD telah dimulakan oleh seorang usahawan sosial, Dr. Andreas Heinecke di Frankfurt, Jerman pada tahun 1988 ketika bertugas di sebuah stesen radio. Beliau pada ketika itu bertanggungjawab membangunkan sebuah program pemulihan bagi seorang rakan sekerja yang kehilangan penglihatannya dalam satu kemalangan jalan raya.


PENGUNJUNG yang menyertai aktiviti Dialogue In The Dark pastinya merasai pahit dan manis kehidupan seorang individu yang cacat penglihatan. - Gambar Hiasan.


Rentetan pengalaman itu, Heinecke, telah menjadikan DITD sebagai langkah permulaan untuk memberi gambaran mengenai persepsi tanpa visual yang diharungi oleh orang buta setiap hari.

Kaedah terbaik

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif DITD (Malaysia), Stevens Chan memberitahu, fokus pameran itu adalah untuk menyediakan satu platform khusus yang membolehkan pembelajaran melalui pengalaman yang lebih terbuka kepada pengunjung.

Menurutnya, kaedah pembelajaran di DITD merupakan salah satu kaedah terbaik untuk mempelajari cara sosial golongan orang kurang upaya, terutamanya yang cacat penglihatan, meniti hari mereka.

“Kaedah ini juga mampu mewujudkan rasa hormat individu normal terhadap orang yang cacat penglihatan. Sesi komunikasi antara pelatih dan pengunjung merupakan kaedah terbaik untuk berkongsi pandangan mengenai aktiviti yang telah dilakukan,” jelasnya.

Sementara itu, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Petrosains, Tengku Nasariah Tengku Syed Ibrahim memberitahu, DITD merupakan destinasi yang wajib dikunjungi di pusat pameran sains berkenaan kerana aktiviti yang dianjurkan dapat merangsang minda seisi keluarga.

“Pembelajaran melalui aktiviti di sini diklasifikasikan sebagai proses perkembangan minda yang sihat. Ia juga merupakan kaedah sains sosial secara interaktif di dalam kawasan gelap yang membantu pengunjung lebih fokus dalam melakukan sebarang keputusan,” ujarnya. – MUHAMMAD AYMAN GHAFFA