Awas kelibat Amri


AMRI (kiri) mampu mengecewakan Selangor pada aksi di Larkin malam esok.


JOHOR Darul Takzim (Johor DT) ada 'senjata rahsia' untuk menyekat Selangor pada aksi kelima Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Johor Bahru malam esok.

Begitupun, kenyataan itu bukan keluar daripada mulut pemain Harimau Selatan, sebaliknya ia hadir daripada bintang skuad Gergasi Merah, S. Kunanlan.

Jelas Kunanlan, senjata yang dimaksudkan itu adalah penyerang Harimau Selatan, Mohd. Amri Yahya.

Sebelum mengubah haluan menyertai Harimau Selatan pada awal musim ini, Amri telah menabur bakti bersama Selangor selama 12 tahun dengan meledak 109 gol sepanjang 226 penampilan.

Justeru, Kunanlan percaya Amri sudah 'masak' dengan corak permainan skuad Gergasi Merah dan tidak menolak kemungkinan bekas pemain Selangor itu mampu memusnahkan impian skuad kendalian Mehmet Durakovic untuk mengutip tiga mata penuh.

"Amri merupakan penyerang yang cukup merbahaya. Dia boleh menjadi 'duri dalam daging' buat Selangor jika kami tidak mengawalnya dengan baik.

"Dia cukup lama bersama dengan Selangor. Jadi, tidak mustahil dia sudah boleh membaca pergerakan pemain-pemain Selangor nanti.

"Namun, kami ada jurulatih baharu (Mehmet) dan saya percaya, kami bermain secara berpasukan, Selangor dapat menyekat serta menutup ruang kepada mana-mana pemain Johor DT yang dianggap merbahaya nanti.

"Selain Amri, Mahalli (Jasuli) juga perlu diberikan perhatian kerana dia kerap melakukan 'overlap' bagi membantu jentera serangan Johor DT," katanya ketika dihubungi Kosmo!, semalam.

Dalam perkembangan sama, Kunanlan juga tidak rela pasukannya terlepas status sebagai pendahulu Liga Super.

Musim ini, Selangor bermula dengan cemerlang apabila berjaya mengutip sembilan mata selain menyaksikan bintang import, Paulo Rangel muncul sebagai penjaring terbanyak liga dengan kelebihan lima gol.

Tambah bekas pemain Negeri Sembilan itu, Selangor akan berjuang habis-habisan dan berhajat untuk meninggalkan Larkin dengan sekurang-kurangnya satu mata buat pasukan pelawat.

"Kita tahu (Stadium Tan Sri Hassan Yunos) adalah gelanggang keramat mereka. Mereka begitu cemerlang beraksi di laman sendiri sepanjang aksi Liga Super," katanya.