Kementerian Kesihatan akan tambah pakar di Hospital Langkawi

17/02/2014 10:01pm

LANGKAWI - Kementerian Kesihatan akan menambah bilangan pakar perubatan di Hospital Daerah Langkawi sebagai usaha meningkatkan mutu perkhidmatannya kepada rakyat.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya, berkata sebagai permulaan, pihak kementerian akan menambah seorang pakar Kecemasan dan Traumatologi pada Mac ini, menjadikan bilangan pakar 10 orang.

"Dengan penempatan doktor pakar, pesakit akan mendapat rawatan awal tanpa perlu dirujuk ke hospital di tanah besar, katanya dalam sidang media selepas merasmikan Ambulans Laut Hospital Langkawi di sini hari ini.

Beliau berkata, tahun lepas 299 kes dirujuk ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk rawatan lanjut.

Katanya, 79 kes memerlukan penggunaan pengusung pesakit, manakala 118 kes memerlukan inkubator bayi semasa proses rujukan (memindahkan pesakit ke hospital di tanah besar).

Mengenai ambulans laut, Dr. Hilmi berkata, perkhidmatan itu akan memberi keselesaan di samping menjimatkan kos memindahkan pesakit ke tanah besar untuk mendapat rawatan kecemasan.

Menurutnya, pesakit yang dirujuk ke hospital di tanah besar sebelum ini terpaksa menaiki feri penumpang biasa dalam keadaan tidak selesa di samping jadual bertolak yang tidak menentu selain terdedah di khalayak awam. - Bernama