Tapak pelupusan sampah Kubang Pasu terbakar

17/02/2014 10:40pm

JITRA - Tapak Pelupusan Sampah Kubang Pasu seluas kira-kira dua hektar di Batu 13, Paya Kemunting di sini terbakar dalam kejadian petang tadi.

Kebakaran yang berlaku kira-kira pukul 5.40 petang itu menyebabkan asap tebal dapat dilihat dari jarak kira-kira 10 kilometer.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jitra, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Mohd. Sufian Hassan berkata, kawasan yang terjejas setakat ini adalah kira-kira dua hektar daripada kawasan keseluruhan 5.22 hektar.

"Anggota bomba terpaksa berdepan dengan beberapa kekangan untuk mengawal api di sini termasuk kekurangan sumber air dan kawasan sampah yang luas.

"Lebih membimbangkan apabila kawasan terjejas ini terletak berdekatan ladang kelapa sawit yang mana jaraknya dengan pokok terdekat adalah sekitar 500 meter sahaja," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini.

Tambah beliau, kerja-kerja memadam dan mengawal kebakaran dijangka memakan masa beberapa hari untuk memastikan api padam sepenuhnya. - KOSMO!